BATU PAHAT, 16 APR: Tindakan kerajaan mencadangkan untuk menutup semula operasi Bazar Ramadan dan Hari Raya dilihat suatu langkah tidak bijak.
Hal itu dinyatakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Noor Khalim Sakib yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang seolah tidak mengadakan kajian awal.
Ditanya kemungkinan bazar Ramadan yang akan dihentikan operasinya, Khalim berkata kerajaan memang suka membebankan rakyat.
“Kenapa dari awal kerajaan tidak boleh lihat kesan tersebut?
“Kenapa bila bazar sudah buka baru tersedar dan mengatakan operasi bazar Ramadan tak sesuai?
“Kajian perlu dilakukan sebelum sesuatu perkara itu diputuskan. Kami pelik bagaimana boleh ada cadangan nak buka bazar lepas tu nak tutup semula.
“Apakah kerajaan sedar sudah berapa banyak modal yang sudab habis sekiranya bazar ditutup kembali. Selain itu harapan peniaga yang selama ini terpaksa mengikat perut akan terkubur sekiranya bazar ditutup.
“Andai kata tempoh hari kerajaan tidak membenarkan bazar dibuka dari awal, pasti modal dan harapan peniaga itu tidak wujud.
“Pastinya alternatif lain akan dicari bagi kesinambungan perniagaan mereka diusahakan,” tegasnya ketika dihubungi.
Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dipetik berkata, varian baru South African B.1.351 dikenalpasti mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi dan sesetengah vaksin dilihat kurang efektif ke atas varian berkenaan.
Lanjutan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta meneliti kembali kelonggaran diberikan terutamanya kebenaran bazar Ramadan susulan pengesanan 17 kes positif Covid-19 membabitkan varian baru itu.
Johorkini