KUALA LUMPUR, 29 MAC: Kerajaan negeri Melaka tidak membenarkan bazar Ramadan diadakan di seluruh ini tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Perkara tersebut dinyatakan dalam pekeliling kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) di seluruh Melaka pada 27 Mac.
Dalam pekeliling tersebut, Pengarah Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd Derus Che Mat berkata, MBMB membekukan permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan itu.
“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, KPKT dan kerajaan negeri membuat keputusan tidak akan membenarkan aktiviti pasar dan bazar Ramadan diadakan di seluruh Melaka pada Ramadan tahun ini.
“MBMB tidak akan mempertimbangkan permohonan lesen perniagaan bagi maksud berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 26 Mac lalu dalam sidang media di Bilik Gerakan negeri turut mengumumkan pembatalan penganjuran Bazar Ramadhan di negeri tersebut.
Kata Aminuddin kerajaan negeri ingin mencontohi langkah kerajaan China di Wuhan yang terus-menerus melarang pergerakan rakyatnya secara terbuka, walaupun tiada kes baharu.
Walaubagaimanapun kata Aminuddin, tiada halangan untuk peniaga terlibat berniaga dari rumah menggunakan konsep tunai (COD – cash on delivery).
Terbaharu pada hari ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata, berdasarkan keadaan semasa krisis Covid-19, bazar Ramadan di seluruh Kelantan untuk tahun ini mungkin dibatalkan.
Bagaimanapun beliau berkata perkara itu akan terus dibincangkan oleh kerajaan negeri.
“Berdasarkan situasi semasa bazar Ramadan mungkin tidak ada,” katanya, lapor Malaysiakini.
“Sebab kalau diteruskan ia boleh menjadi tempat orang ramai berkumpul. Tunggulah keadaan nanti kita akan bincang lagi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Mengulas usaha membendung penularan wabak itu, beliau berkata kerajaan negeri antaranya membuat pembersihan di pasar-pasar awam.
“Kerajaan negeri akan meningkatkan usaha aspek pembersihan khususnya di pasar-pasar basah,” katanya lagi.
Ahmad turut menyeru agar rakyat negeri itu mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan.
Johorkini