BM | EN | 中文

Bayi perempuan tiga hari antara 33 migran ditahan

IMG-20200518-WA0007.jpg

JOHOR BAHRU, 18 MEI: Bayi berusia tiga hari bersama ibu dan bapanya yang berusia 30-an antara 33 migran yang ditahan menerusi beberapa serbuan polis di Johor Bahru, Seri Alam dan Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada 15 Mei lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjumpai sebuah bot pancung di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi.

“Bot tersebut mengalami kerosakan enjin dan dipercayai telah hanyut selama dua hari sebelum diselamatkan APMM.

“Siasatan terhadap bot pancung tersebut mendapati seramai 23 migran, termasuk sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka yang berusia tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah beliau, bot tersebut yang turut dinaiki tiga tekong dipercayai dalam perjalanan keluar negara ini menuju ke Indonesia.

Sementara itu, polis negeri ini turut menjalankan dua lagi serbuan masing-masing di sebuah kediaman rumah di Johor Bahru dan sebuah hotel di Seri Alam.

“Menerusi dua serbuan tersebut, polis menahan lima tekong berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dan juga transporter berusia antara 43 hingga 67 tahun.

“Selain itu seramai 10 migran berusia antara 25 hingga 58 tahun turut ditahan,” ujarnya.

Ayob Khan turut memberitahu, hasil serbuan tersebut pihaknya merampas sebuah bot pancung, sebuah enjin, sebuah kenderaan dan 53 telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 5(1)(2) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top