JOHOR BAHRU, 29 DIS: Batu Pahat menjadi daerah pertama di negeri ini yang didaftarkan bawah Petunjuk Geografi menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi penghasilan produk Gambus Johor.

Noor Zari Hamat (kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Festival Kraf Johor 2019 di Angsana Johor Bahru Mall
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, tujuan pendaftaran itu bagi mempromosi produk kraf tangan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, selain Batu Pahat, turut didaftarkan di bawah Petunjuk Geografi sebelum ini adalah bagi produk Tekat Benang Emas, Labu Sayong dan Tembikar Pulau Tiga dari Perak, manakala Sulaman Keringkam dari Negeri Sarawak.
“Tujuan pendaftaran ini bagi melindungi dan mempromosi keistimewaan dan keunikan Gambus Johor agar memberi manfaat dan nilai tambah kepada komuniti pengeluar dan pengusaha.
“Dengan adanya Petunjuk Geografi ini, lokasi penghasilan produk gambus bakal menjadi lokasi tumpuan sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada majlis perasmian Festival Kraf Johor di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Sementara itu, Noor Zari turut memberitahu, sehingga November tahun ini, nilai jualan kraf yang dicatat seluruh negara berjumlah RM465 juta, membabitkan 5,796 orang usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM88,000 disumbangkan oleh 162 usahawan kraf dari Johor,” ujarnya.

Antara produk kraf yang dipamer di Festival Kraf Johor 2019
Tambah beliau, pihaknya berharap usahawan kraf akan terus inovatif dan kreatif dalam menghasilkan produk kraf yang memenuhi citarasa 30 juta pelancong yang bakal melawat negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Festival Kraf Johor 2019 yang berlangsung sejak 20 Disember lalu dan bakal berakhir pada 31 Disember ini di Angsana Johor Bahru Mall menghimpunkan 300 usahawan kraf dari seluruh Malaysia.
Festival 12 hari itu menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 135,000 orang dengan hasil jualan sebanyak RM7.5 juta.
Johorkini