BM | EN | 中文

BASIKAL LAJAK, PADANG BOLA DAN EMPATI

basikal-1.jpg

Oleh: Nami Cob Nobbler

Pertamanya, masih belum terlewat untuk saya ucapkan takziah kepada keluarga lapan kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa.

Saya tak mahu komen tentang yang langgar itu kaum apa atau siapa yang bersalah. Perkara sudah terjadi.

Tetapi apa yang saya nak cakap di sini adalah tentang bagaimana kanak-kanak itu dibesarkan akan menjadi seorang dewasa dari cara dia dibesarkan.

Mereka yang terus menyalahkan kanak-kanak yang bermain basikal lajak, ada beberapa latar belakang bila diperhatikan. Ada yang bujang dan ada yang dah kahwin dan punyai anak.

Tapi yang mengkritik tak faham perasaan tinggal di rumah sempit, dan mak ayah sibuk bekerja di pejabat serta ketiadaan padang permainan.

Semasa awal 1990an dulu, kawasan tempat saya tinggal, Cheras Perdana mempunyai sebuah padang bola yang cukup besar. Di situlah kami kanak-kanak bermain bola dan cuba meniru gaya Eric Cantona, dari segi skil permainan atau sekadar menegakkan kolar.

Sehinggalah ada dermawan membeli tanah tersebut untuk bina SJKC menyebabkan kami tak dapat bermain bola lagi di situ. Kami bermain bola di padang permainan yang ada jongkang-jongket dan ada batu yang banyak.

Kemudian padang itu diambil untuk membina sebuah medan selera yang sampai hari ini masih sendu – tak ramai pergi ke situ.

Generasi saya sempat bermain bola di kawasan berhampiran, tetapi generasi selepas saya terpaksa pergi ke Cheras Perdana 5 dengan jarak lebih kurang 300 meter. Tak jauh, tapi untuk kanak-kanak melintas jalanraya yang sibuk adalah bahaya.

Tetapi Cheras Perdana masih bertuah lagi kerana masih ada padang bola. Sesetengah tempat macam Flat Kinrara di Puchong, mereka tak ada tempat nak main bola. Padang sekangkang kera dan sering berlaku pergaduhan, terutamanya melibatkan orang yang bukan satu kaum.

Mungkin kalau ditanya dari mana asalnya perkauman, antaranya dari taman permainan yang semakin mengecil.

Sementara di kawasan middle class dan upper middle class menikmati prasarana yang lengkap untuk membesar, manakala kanak-kanak tadi tidak ada privilege (keistinewaan) itu.

Disebabkan itu anda yang mengkritik anak-anak bermain basikal lajak ini seolah-olah detach (terpisah) daripada realiti – inequality (ketidakadilan) berlaku dalam guna tanah dan perumahan.

Padang permainan tak ada, bilik pun tak ada, jadi ke mana anak lelaki ini semua pergi? Apa yang mak ayah mampu beli, cuma basikal lajak. Inilah rite of passage mereka sebelum menjadi dewasa dan jadi rempit.

Semua kerana semasa mereka kecil tidak ada privilege macam generasi saya untuk main bola dan bergaul atas padang.

Jalan raya adalah ‘padang’ mereka. Jalan raya tempat mereka beraksi, sama ada nak berangan jadi pelumba Cub Prix atau nak jadi Marc Marquez.

Apabila menonton filem Cinema Paradiso, saya melihat cara kanak-kanak dibesarkan membentuk peribadinya bila dewasa.

Masa saya kanak-kanak, mak belikan buku, ensiklopedia dan mempunyai sebuah mesin taip di rumah. Jadi bila saya jadi dewasa, normal kalau saya jadi penulis.

Toto dibesarkan dalam panggung wayang, dah besar jadi pengarah filem.

Kalau anak-anak basikal lajak dibesarkan di jalanraya, dah besar mestilah jadi mat rempit. Dan kematian mat rempit seringkali diejek oleh golongan privilege ni sebagai ‘padan muka’, ‘bodoh siapa suruh merempit tengah highway’ dan sebagainya.

Anak orang senang mereka tak pernah perhatikan orang yang lebih miskin daripada mereka. Sebab itu mereka tak ada empati.

Saya terbaca satu tweet daripada seorang peguam yang kini jadi pembantu kepada seorang ahli parlimen DAP dan dia menjawab dari sudut teknikal undang-undang.

Ya, jawapannya mungkin tepat dari segi undang-undang, tapi jawapannya tak ada ‘soul’, tak ada empati, tak ada pengertian terhadap kanak-kanak miskin ini. Mungkin bila dah jadi pembantu ahli parlimen, ‘soul’ mungkin ke laut, dan jadi seorang ‘mindless robot’ kepada sistem.

Siapalah saya untuk menghakiminya, tapi itulah pandangan saya terhadapnya.

Kasihan kepada kanak-kanak yang bermain basikal lajak. Mereka tak ada padang untuk bermain, mak ayah sibuk bekerja, kejar OT dan mereka tak ada hala tuju.

Apa yang mereka buat – naik basikal dengan aksi bahaya, memanglah salah. Tapi lucunya bila masyarakat mula hilang empati dengan kanak-kanak, terutamanya yang miskin bandar.

“Kalau dah miskin tu janganlah kahwin”

Itu yang selalu saya dengar, terutamanya dari kaum liberal yang tak pernah menilai institusi keluarga. Mungkin semasa membesar dulu mereka ini golongan kera sumbang yang kerjanya main Brick Game, Nintendo dan tak bergaul dengan saudara-mara.

Mungkin mereka rasa kahwin untuk orang ‘ada-ada’ sahaja. Mungkin juga mereka terpengaruh dengan rancangan Nona setiap Ahad jam 2 petang.

Tapi tak semua orang berkongsi nilai yang sama. Ada sesetengah orang merasakan perkahwinan itu permulaan hidup \yang baru, untuk mendirikan sebuah keluarga yang berautonomi dari keluarga yang dipimpin ayahnya.

Sesetengah orang melihat perkahwinan adalah lambang kebebasan daripada ibu bapa. Kita tak tahu. Ada 35 juta rakyat Malaysia, sudah pasti ada 35 juta pandangan.

Walau macam mana pun, tolonglah ada empati. Janganlah pakai sembur bila bercakap. Saya langsung tak sentuh pasal isu yang melanggar tu kaum apa. Itu bagi saya bukan isu yang sepatutnya disentuh pun.

Jadilah ahli masyarakat yang mempunyai nilai empati. Janganlah kerja nak tuding jari pada orang yang tidak punya apa-apa, macam kanak-kanak malang yang meninggal tempoh hari.

Mari jadikan ini sebagai iktibar, supaya kanak-kanak di masa depan tak perlu lagi lalui kemiskinan bandar. Ia sukar, terutamanya bila kerajaan lebih pentingkan pemaju daripada rakyat sendiri.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya menceminkan pendirian rasmi Johorkini.

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top