Tatkala skandal LCS masih hangat, Timbalan Pengarah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli sekali lagi mendedahkan sekaligus mempersoalkan kewujudan syarikat subkontraktor yang berusia 45 hari tetapi telah membuat tuntutan yuran memulakan kerja sebanyak RM178 juta.
Menjawab persoalan ini, seorang jurutera awam, Megat Hisemudin Megat Kasim telah mengupas hal ini dalam laman sosial Facebooknya.
Beliau berkata persoalan yang dibangkitkan Rafizi bukanlah sesuatu yang mencurigakan. Sebaliknya satu amalan normal kerana ia merupakan syarikat usaha sama (joint venture) antara BNS dengan firma Jerman.
“Penubuhan syarikat JV adalah untuk tujuan mendapat kerja (job) dari BNS. Ini adalah biasa dalam bisnes khususnya pembinaan.
“Seperti kami dalam civil works buat lebuhraya (highway) dan juga bangunan. Kami perlukan batu untuk bahan binaan. Kami akan cari kuari untuk buat JV atau ambil berapa peratus saham kuari yg sedang operasi. Maka akan terbentuk sebuah entiti JV.
“Syarikat dapat akses bahan mentah dengan senang dan secure. Keuntungan dari JV akan kembali ke syarikat induk,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam hal JV untuk perkapalan ini, penubuhan JV memberikan BNS satu akses kepada perolehan produk pengeluar peralatan asli (OEM products). Agar ia juga tidak tertipu dengan pembekal (suppliers) saja. Ia juga satu bentuk SECURITY.
Menyentuh persoalan tuntutan bernilai jutaan ringgit yang dibuat, Megat Hisemudin berkata, hal ini demikian kerana, syarikat JV bukanlah syarikat yang membuat “kerja fizikal”.
“Ia adalah sebuah outsource company untuk membeli peralatan yang digunakan dalam projek.
“Berapa banyak barang yang nak dibeli tentulah memerlukan upfront money untuk membayar suppliers OEM,” ujarnya.
Tambahnya lagi, BNS juga menggunakan syarikat JV untuk mendapatkan bekalan berkemungkinan kerana tiada kepakaran dan akses kepada pembekal dan jenis produk yang perlu dibeli mengikut spesifikasi tertentu.
“Maka sebab itulah kita perlu partners untuk sourcing suppliers dan certify barang yang nak dibeli,” katanya.