BM | EN | 中文

Bapa jaguh basikal Azizulhasni meninggal dunia

takziah.jpg

KUALA TERENGGANU, 1 FEB: Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang menerima perkhabaran duka apabila bapanya, Awang Embong, 72, meninggal dunia akibat strok awal pagi kelmarin.

Abang ipar Azizulhasni, Mohd Razman Mohamad, 37, memaklumkan allahyarham Awang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi di kediamannya di Dungun, Terengganu.

Mohd Razman berkata allahyarham baru-baru ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang petang 30 Jan lalu.

“Doktor benarkan arwah pulang dalam keadaan baik, dan kelihatan ceria sebelum meninggal dunia, kami sekeluarga amat terkejut dengan pemergian Allahyarham, namun harus redha dengan ketentuan ilahi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Razman berkata solat jenazah akan diladakan selepas solat Zuhur di Surau Ustaz Omar Shukri sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.

Sementara itu Mohd Razman memberitahu, Azizulhasni yang sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia, sempat menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan mengenai situasi melanda keluarganya ketika ini.

“Azizulhasni sememangnya sedih dengan pemergian bapanya dan meminta kami sekeluarga untuk menguruskan segala keperluan,” katanya.

Sementara itu Majlis Sukan Negara dalam satu hantaran di laman Facebook dan Twitter mendoakan kesejahteraan allahyarham.

“Ya Allah! Ampunilah allahyarham, berilah dia rahmat-Mu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya.. al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top