BM | EN | 中文

Bapa Irfan Wafiy harap anaknya dirujuk dengan pakar luar

wafiy-1-01-scaled.jpg

Aminolhuda (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Irfan Wafiy (tiga, kanan)

Advertisement

PASIR GUDANG, 2 JAN : “Sepanjang sembilan bulan, keadaan Irfan Wafiy hanya sekitar 30 peratus sahaja pulih,” cerita Idham Wazir A Wahab, 50.
Idham Wazir merupakan bapa kepada Irfan Wafiy, 13, pelajar yang menghidap penyakit Myokymia, sejenis penyakit berkaitan saraf.

Remaja berkenaan didakwa menderita penyakit berkenaan akibat pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim yang berlaku pada Mac tahun lalu.
Ujar Idham Wazir lagi, anaknya itu masih meneruskan rawatan seperti yang dinasihatkan, bagaimanapun, terus diuji apabila mengalami alergik setelah makan ubat yang disyorkan doktor, baru-baru ini.

“Sebelum ini, anak saya makan ubat lain selama enam bulan, namun ubatnya ditukarkan. Akibatnya, ia seperti tidak sesuai apabila dia mengalami gatal-gatal serta demam yang panas hingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 24 Disember lepas.

Advertisement

Irfan Wafiy (tengah) bersama bapanya, Idham Wazir (kiri) dan ibunya, Norlela Abu Hashim, 47 (kanan)

“Timbalan Menteri Kesihatan (Dr Lee Boon Chye) masih menghubungi kami untuk mendapatkan perkembangan Irfan Wafiy. Saya tahu belum ada kes seumpamanya terjadi di Malaysia sebelum ini dan diharap anak saya dapat dirujuk kepada pakar dari luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Majlis Penyerahan Tabung Kilat di Bilik Mesyuarat Utama Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan.

Advertisement

Tabung berkenaan yang ditubuhkan pada 1 Ogos hingga 31 Oktober lepas berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM17,000.

Pada majlis itu, Irfan Wafiy turut menerima sumbangan RM1,000 daripada pejabat ADUN Permas.

Remaja terbabit berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lepas iaitu 6A dan ditawarkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru.

Advertisement

“Kalau ikutkan Irfan Wafiy perlu mendaftar pada 6 Januari depan, namun dia terpaksa lewat mendaftar kerana masalah alergik yang dialami itu, namun segala persiapan telah dibuat.

“Saya juga telah berbincang dengan pengetua sekolah itu untuk memberitahu masalah yang dialami Irfan Wafiy dan diharap dia dapat dikecualikan dalam soal tertentu,” katanya yang memberitahu anaknya masih menerima rawatan di HKL, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Permai.

 

Advertisement

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top