BM | EN | 中文

BANTUAN UNTUK PETANI, PEKEBUN KECIL DAN PENTERNAK

tosrin-5.jpg

PONTIAN, 9 OKT: Petani, pekebun kecil dan penternak yang memerlukan bantuan segera digalakkan untuk memohon peruntukan khas di Jabatan Pertanian, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi.

Beliau berkata, bantuan tersebut boleh dimohon secara terus yang mana setiap peserta akan diberikan peruntukan kurang daripada RM5,000.

“Dalam membangunkan sektor pertanian disini, sebagai contoh, kita sangat mengalakkan pekebun untuk membuat tanaman lada dalam beg plastik atau ‘polybag’.

“Bagi mereka yang ingin memulakan tanaman, sangat digalakkan untuk memohon bantuan segera ini sebagai permulaan untuk memulakan projek pertanian mereka,” katanya kepada wartawan selepas melakukan tinjauan di beberapa parit dan saliran pertanian di Pontian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta untuk memberi respon tentang pelan jangka pendek dan insentif yang disediakan untuk pekebun-pekebun kecil, petani-petani dan penternak-penternak di Johor.

Adun Bukit Permai itu memberitahu, selain itu, bagi penternak pula, mereka yang ingin memulakan aktiviti penternakan ayam kampung boleh merujuk kepada Jabatan Veterinar untuk memohon bantuan.

“Melalui jabatan ini, kita ada menyediakan peruntukan dalam usaha untuk membantu mereka memulakan projek penternakan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai contoh, setiap peserta yang lulus permohonannya akan dibekalkan 100 ekor ayam kampung.

“Usaha-usaha ini selain daripada untuk membantu membangunkan sektor-sektor yang berkaitan, ia juga akan membantu penternak, pekebun dan petani yang ingin memulakan projek mereka,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top