BM | EN | 中文

‘Bantahan Kerajaan Gagal’: Tujuh lagi ditahan

Kerajaan-Gagal-parit-raja-batu-pahat.jpg
Advertisement

BATU PAHAT, 18 MEI: Polis menahan tujuh lagi lelaki berhubung insiden rusuhan di Parit Raja, Batu Pahat minggu lalu, menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini 27 orang.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang berusia 19 hingga 23 tahun terbabit ditahan semalam dan kini direman selama tiga hari hingga Khamis ini.

Selain itu katanya perintah reman 20 lelaki yang ditahan sebelum ini, dilanjutkan tiga hari lagi selepas tempoh reman ke atas mereka berakhir semalam.

Advertisement

“Setakat ini, semua individu yang ditahan itu memainkan peranan dalam insiden tersebut, sama ada membeli suar, membuat kain rentang, gantung banner.

“Namun berhubung penglibatan individu di belakang kumpulan ini, siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini, ketika ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan.

Kejadian pada Khamis itu menyaksikan kira-kira 40 orang membuat halangan jalan raya menggunakan motosikal dan kereta selama 15 minit sambil memegang kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ selain turut membakar suar dan mercun.

Advertisement

Kumpulan itu turut menggantung kain rentang berkenaan di sebuah jejantas berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Nan di Jalan Parit Raja menuju ke Ayer Hitam sebelum video mengenai insiden tular menerusi media sosial.

Sementara itu, Ayob Khan berkata pihaknya telah mengeluarkan 20 kompaun bernilai RM42,000 berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan bagi tempoh 13 Mei hingga semalam, membabitkan kesalahan antaranya melakukan ziarah Aidilfitri dan mengadakan majlis perkahwinan.

“Kita juga telah membuka satu kertas siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse kerana dakwaan melakukan pelanggaran SOP ziarah Aidilfitri yang telah tular di media sosial. Sekiranya terbukti betul, baru kita kenakan kompaun,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top