BM | EN | 中文

Bank Rakyat anjur hari terbuka bantu pelanggan pohon lanjutan moratorium

bank-rakyat.png

LANGKAWI, 12 SEPT: Bank Rakyat akan mengadakan hari terbuka di 17 cawangan seluruh negara, mulai hari ini, pada 19 dan 26 Sept depan bagi memberi peluang kepada pelanggannya untuk memohon bantuan bagi menangguhkan pembayaran pembiayaan, selepas tamat tempoh moratorium, 30 Sept ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed berkata cawangan terlibat ialah Johor Bahru, Johor, Jalan Hang Tuah, Melaka, Seremban, Negeri Sembilan, Presint 8, Putrajaya, Seksyen 14, Shah Alam, Sungai Buloh, Selangor dan Jalan Tangsi, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Cawangan lain termasuk di Medan Gopeng, Ipoh, Teluk Intan, Perak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Temerloh, Kuantan, Pahang, Kuala Terengganu, Terengganu, Kota Bharu, Kelantan, Satok, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Hari terbuka di cawangan terlibat akan diadakan bermula 10 pagi hingga 3 petang. Sempena hari terbuka ini, kita boleh berbincang dan akan cuba membantu pelanggan yang terjejas dan mereka yang memerlukan bantuan,” katanya pada sidang media selepas majlis makan malam Bank Rakyat bersama media Langkawi, di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat Dr Mohammad Hanis Osman.

Mengulas lanjut, Rosman berkata permohonan bagi melanjutkan tempoh moratorium selepas 30 Sept ini semakin banyak.

“Permohonan sentiasa ada, kita melihat trend semakin dekat tempoh moratorium tamat, jumlah permohonan semakin banyak. Insya-Allah Bank Rakyat bersedia membantu pelanggan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Sementara itu, Rosman berkata Bank Rakyat menganjurkan Karnival Mai Pakat Mai@Langkawi bermula semalam (11 Sept) hingga 10 Okt bagi memberi peluang kepada pelanggan memenangi hadiah menarik sehingga RM12,000.

Katanya, pelanggan hanya perlu melanggan sebarang produk di cawangan Langkawi dan Ar-Rahnu X’Change Langkawi bagi mendapat peluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang berupa motosikal, basikal, komputer riba, telefon pintar, penggoreng kering dan wang tunai RM1,000.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top