KLUANG, 15 DIS: Banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di daerah ini sejak beberapa hari lalu merupakan insiden paling teruk dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

Norazila Sabri
Salah seorang mangsa banjir, Norazila Sabri memberitahu, dia bagaimanapun bersyukur kerana dapat menyelamatkan barangan berharga miliknya.
“Banjir pada kali ini paling dalam sejak enam tahun lalu. Dahulu paras lutut dan jika di luar paras pinggang, tetapi semalam teruk tidak boleh lalu, jadi kami panggil bomba.
“Saya bernasib baik kerana belum menyediakannya kelengkapan persekolahan anak-anak dan dapat menyelamatkan barangan penting,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Rambai, di sini.
Dia berkata demikian ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Kencana, Simpang Renggam.
Kluang merupakan antara daerah yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di negeri ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Norhaida Sariman berkata, ramai antara rakan-rakannya menanggung kerugian akibat bencana banjir kali ini.
“Ramai antara mereka sudah membuat persiapan untuk anak-anak kembali ke sekolah, kini banyak barang-barang itu rosak.
“Hujan memang lebat sehingga air naik ke paras pinggang,” ujarnya yang merupakan seorang pengusaha kantin sekolah.
Johorkini