JOHOR BAHRU, 16 JUL: Banjir di Johor dilihat semakin pulih berikutan penurunan mendadak jumlah mangsa iaitu kepada 201 mangsa membabitkan 47 keluarga berikutan penutupan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Muar.
Setakat 8 malam semalam, jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas melibatkan daerah Tangkak dan Muar adalah seramai 438 orang daripada 106 keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan menerusi kenyataan berkata, tiga PPS itu – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya dan SMK Tun Dr Ismail ditutup bermula 1 tengah hari tadi.
Katanya, secara keseluruhan terdapat empat PPS yang masih beroperasi ketika ini iaitu tiga di Muar dan satu di Tangkak.
“Di Muar, SMK Tengku Mahkota menempatkan 50 mangsa daripada 14 keluarga, diikuti 91 orang daripada 21 keluarga di SK Parit Keroma Darat dan SK Parit Raja pula menempatkan seramai 33 orang membabitkan lapan keluarga.
“Di Tangkak pula, hanya 27 orang daripada empat keluarga berada di SK Tanjung Gading 5,” katanya.
Beliau turut menjelaskan paras air di beberapa kawasan yang terjejas mulai surut secara perlahan, bagaimanapun pelbagai agensi terlibat sentiasa melakukan pemantauan di kawasan yang berisiko banjir.
Johorkini