JOHOR BAHRU, 21 DIS: Bilangan mangsa banjir di Johor terus menurun kepada 778 dengan tiga daerah masih terjejas, setakat jam 12 tengahari ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka menempatkan 190 keluarga di Segamat, Batu Pahat dan Kluang.
“Seramai 561 mangsa ditempatkan di 11 PPS di daerah Segamat, di Kluang seramai 180 mangsa masih ditempatkan di satu PPS dan seramai 37 mangsa ditempatkan di dua PPS di Batu Pahat,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, di sini.
Kenyataan itu turut memaklumkan setakat ini 94 PPS ditutup manakala 14 pusat lagi masih dibuka untuk menempatkan 778 mangsa di tiga daerah tersebut.
“Di Segamat, kawasan yang terjejas termasuklah di Jalan Kolam Air, Kampung Balai Badang, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tadong, Kampung Padang Kiambang, Kuala Paya, Kampung Sanglang, Kampung Kuing Patah, dan Kampung Bukit Tunggal.
“Manakala di Kluang, kawasan yang terjejas adalah di Kampung Sungai Linau dan di Batu Pahat, Seri Chomel dan Kampung Peserai lama,” tambahnya lagi.
Johorkini