JOHOR BAHRU, 17 JUL: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup pada pukul 5 dan 6 petang tadi, susulan 50 mangsa banjir daripada 12 keluarga yang ditempatkan di situ, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing ekoran paras air yang semakin surut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan, menerusi kenyataan malam ini, berkata satu daripada PPS itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahkota di Muar yang menempatkan seramai 23 orang daripada lapan keluarga.
Sebuah lagi PPS ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gading 5 di Tangkak yang membabitkan 27 orang daripada empat keluarga.
Beliau berkata susulan penutupan itu, jumlah mangsa yang masih berada di dua lagi PPS iaitu SK Parit Keroma Darat dan SK Parit Raja, Muar setakat 8 malam ini hanya tinggal 79 orang daripada 18 keluarga.
Bernama