BM | EN | 中文

Banjir Johor: 456 mangsa di Segamat berpindah ke PPS

banjir-segamat-johor-2022.jpg

Gambar Ehsan Bomba Johor

SEGAMAT, 1 JAN: Lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dibuka bermula malam tadi sekali gus menjadikan Segamat sebagai daerah pertama dilanda banjir di Johor pada permulaan tahun 2022.

Ekoran bencana itu, seramai 456 mangsa daripada 133 keluarga dipindahkan dengan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang di Labis mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 223 mangsa yang melibatkan 73 keluarga dari kampung terbabit.

PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Ai Chun pula menempatkan 160 mangsa dari 38 keluarga yang terjejas di Kampung Lembah Bakti, manakala 36 mangsa dari 13 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Serbaguna Pekan Air Panas.

Sementara itu, seramai 15 mangsa dari tiga buah keluarga di Kampung Paya Lebar, Jementah di sini berpindah ke PPS balai raya kampung berkenaan selepas rumah mereka dimasuki air akibat hujan lebat sejak petang semalam.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, PPS Balai Raya Kampung Sermin dan PPS Dewan Serbaguna Jalan Genuang masing-masing menempatkan enam mangsa dari dua buah keluarga dan 10 lagi mangsa melibatkan empat keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Paya Lenga dan PPS Balai Raya Kampung Gelang Chinchin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, kebanyakan kawasan didiami penduduk dinaiki air antara 0.5 meter hingga 1.5 meter.

“Kebanyakan tempat baru dinaiki air dan pasukan penyelamat hanya mengarahkan mereka berpindah sebelum penduduk berpindah sendiri ke PPS yang disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat.

“Cuma di sini agak mudah kerana penduduk mematuhi arahan daripada pihak berkuasa untuk berpindah awal dan tiada laporan mangsa terperangkap diperolehi setakat ini,” katanya.

Kata beliau, antara kawasan lain yang dinaiki air adalah Kampung Pekan Air Panas, Kampung Sermin, Kampung Paya Lenga dan Kampung Gelang Chinchin serta Kampung Sedeng setelah hujan lebat sejak petang.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top