BM | EN | 中文

BANGKIT SEMULA SELEPAS DISERANG STROK

sumbangan-1.jpg
Advertisement

KLUANG, 30 OKT : Meskipun diserang penyakit angin ahmar pada bahagian kiri badan sejak empat tahun lalu, itu tidak menjadi halangan kepada seorang lelaki di Taman Delima, di sini untuk memajukan diri.

Bercerita tentang kisahnya, Eddie Paiman, 39, memberitahu, dia diserang penyakit tersebut sewaktu sedang tidur sehingga menyebabkannya terlantar hampir dua tahun.

Keadaan itu memaksa Eddie mengharapkan bantuan isterinya, Nurul Amalina Syaaban, 31, untuk menguruskan dirinya.

Advertisement

“Saya sebelum ini bekerja di sektor minyak dan gas di Terengganu dan Pasir Gudang dan sewaktu diserang angin ahmar ini, saya baharu sahaja tamat kontrak tidak sampai sebulan dan saya memang tidak sangka diserang penyakit ini sewaktu usia muda.

“Saya mengambil masa hampir empat tahun untuk bangkit semula melawan penyakit ini kerana mengenangkan isteri serta anak yang masih kecil.

“Sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa di rumah dan bercucuk tanam di sekeliling rumah sahaja,” katanya.

Advertisement

Dia ditemui semasa menerima bantuan peralatan bakeri pada Program Insan Johor 2019 yang disampaikan oleh Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI), Saifuddin Abdul Rahim di Pejabat SMI, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai Program Insan Johor ini selepas dimaklumkan oleh bapa saudaranya dan berharap peralatan yang diterimanya seperti ketuhar dan mesin pengadun ini mampu untuk mengembangkan lagi perniagaannya secara kecil-kecilan di rumah.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Muhammad Hannan Ismail, 27, berkata, dia yang menghidap ketumbuhan pada kaki kanannya berharap bantuan peralatan mengurut yang diterimanya ini mampu memberi tambahan pendapatan kepada dirinya.

Advertisement

Eddie bersama isteri serta anaknya dan bantuan yang diterima

“Ketumbuhan pada kaki saya ini dikesan selepas saya terjatuh pada umur 12 tahun, dan selepas itu ketumbuhan tersebut merebak pada tulang pinggul, pelipat kaki, buku lali dan tapak kaki sehingga menyebabkan saya tidak boleh berjalan.

“Disebabkan penyakit ini, saya nekad untuk belajar mengurut sejak awal tahun ini dan saya telah mendapat sijil mengurut daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk urutan sukan dan sijil daripada badan profesional untuk urutan strok,” katanya.

Tambahnya, bagi urutan strok, dia tidak menetapkan sebarang bayaran dan bagi urutan sukan, dia hanya mengenakan bayaran sebanyak RM80 untuk sejam dan merancang untuk membuka kedai dalam masa terdekat ini.

Advertisement

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, seramai 110 golongan sasar terdiri daripada kelompok B40, ibu tunggal, Orang Asli dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini menerima bantuan latihan dan peralatan melalui program tersebut.

“Peruntukan yang disampaikan dalam bentuk latihan dan peralatan seperti mesin jahit industri, ketuhar, alat menggunting rambut serta peralatan mengurut dan rawatan muka ini bertujuan bagi menggalakkan para peserta ini meningkatkan kuantiti dan hasil produk masing-masing.

“Program ini juga dapat memberi motivasi dan membuka peluang kepada kumpulan sasar yang terpinggir supaya dapat memajukan diri dan mengambil peluang untuk meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan,” katanya.

Advertisement

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top