KOTA TINGGI, 4 SEPT: Dua buah balai bomba di kawasan Pengerang, dijangka operasi sepenuhnya dalam masa satu atau dua bulan lagi bagi memendekkan tempoh masa tindak balas kesan dari pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dekat ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Johor Datuk Yahaya Madis berkata setakat ini, pihaknya sedang menunggu kelulusan penjawatan bagi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Rengit yang berkelas B, manakala, proses penjawatan bagi Balai Bomba dan Penyelamat Sebana Cove berkelas C sudah selesai.
“Bagaimanapun, kita akan menempatkan juga pegawai-pegawai kita di sini, peralatan bomba dari segi kenderaan juga sudah ada.
“Cuma untuk perjawatan kita akan susun daripada yang sedia ada dan dalam masa sama, masih menunggu penempatan dan difahamkan pegawai bomba baharu sedang dalam latihan di akademi bomba iaitu hampir 1,000 orang di seluruh negara.
“Jadi, apabila mereka tamat, sebahagian akan ditempatkan di sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Rengit dan Sebana Cove di Pengerang, dekat sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Pembangunan dan Pelaksanaan Projek di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kamaruzaman Umar.
Menurut Yahaya, terdapat tiga buah balai bomba (termasuk Sungai Rengit dan Sebana Cove) di Pengerang dengan satu daripadanya iaitu Balai Bomba Punggai, sudah mula beroperasi sepenuhnya pada Ogos tahun lepas.
Katanya, tiga balai bomba itu yang kesemuanya berada di dalam kawasan Pengerang berupaya memendekkan tempoh masa tindak balas di kawasan berkenaan iaitu selama 10 minit.
Sementara itu, Yahaya berkata satu lagi balai bomba yang sedang dalam pembinaan iaitu di Bandar Tenggara pula dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan.
Bernama