BM | EN | 中文

Bajet 2022: MOF sedia timbang permintaan Johor terhadap sektor pelancongan, logistik

johor.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 25 OKT: Kementerian Kewangan (MOF) sedia menimbang untuk memberi perhatian terhadap sektor pelancongan, logistik dan persediaan pasca Covid-19 di Johor untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2022 sebelum dibentang Jumaat ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pihaknya menerima permintaan daripada pihak industri berkenaan supaya perkara itu diberi perhatian dalam bajet selepas terjejas teruk akibat pandemik.

“Menerusi lawatan kerja dan sesi libat urus saya dengan pihak berkaitan selama dua hari di Johor sejak semalam (Sabtu), pihak industri mahu sektor pelancongan, logistik seperti pelabuhan-pelabuhan dan masa depan Johor selepas pasca Covid-19 dapat diberi perhatian.

Advertisement

“Contohnya pelancongan di Kota Tinggi sebelum ini popular dengan Santuari Gajah Johor dan kawasan rekreasi air terjun selain Desaru di Pengerang yang mempunyai kuasa beli tinggi dan bagaimana untuk menghidupkan semula kawasan itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Akademi Soloz, di sini pada Ahad.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober ini yang bersifat komprehensif, mencakupi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Advertisement

Mohd Shahar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga ada membangkitkan masalah kuasa beli di kawasan-kawasan pelancongan dan tumpuan di Kota Tinggi dan mahu strategi kuasa beli dipertingkatkan.

Beliau berkata, PBT turut membangkitkan masalah tidak dapat menyiapkan tempat berniaga untuk penjaja dengan cepat dan bantuan yang boleh diberikan kepada mereka supaya dapat berniaga dengan selesa dan selamat.

Beliau berkata, pihak industri pelancongan di negeri ini juga berharap sempadan Malaysia-Singapura segera dibuka supaya sektor ekonomi di Johor hidup dan rancak semula.

Advertisement

Katanya, ini ditambah dengan keputusan Singapura pada Sabtu sudah menyenaraikan Malaysia di bawah kategori III berbanding kategori IV sebelum ini, selepas republik ini mengadakan semakan berkala mengenai situasi Covid-19.

“Pembukaan sempadan nanti merupakan satu tindakan timbal balik yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Pada Sabtu, Singapura melaksanakan penetapan empat kategori negara atau rantau pada Ogos tahun ini dengan kadar vaksinasi populasi sesebuah negara atau rantau menjadi asas untuk menentukan langkah kawalan di sempadan.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top