JOHOR BAHRU, 19 SEPT: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lapan daerah di Johor pagi ini berada pada paras tidak sihat setakat jam 11 pagi tadi.
Stesen bacaan Larkin di Johor Bahru mencatatkan IPU terburuk iaitu 164, diikuti daerah Segamat (148), Kluang (139), Pasir Gudang (137), Kota Tinggi dan Tangkak dan Batu Pahat (131) dan Pengerang (116).
Pada 15 September, semua sekolah di daerah Muar, Tangkak dan Pontian ditutup disebabkan paras udara yang sangat tidak sihat.
Kementerian Pendidikan sebelum ini turut menggesa pensyarah menangguhkan sesi kuliah di universiti sekiranya kualiti udara dianggap tidak selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon sebelum ini berkata, sesi persekolahan perlu ditangguhkan sekiranya bacaan kualiti udara pada bacaan sangat tidak sihat.
Katanya, pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah diminta untuk mengikuti rapat pihak JAS bagi mendapatkan makluman terkini bacaan IPU.
Dalam masa yang sama orang ramai dinasihat mengambil langkah penjagaan diri dengan mengurangkan aktiviti luar dan memakai topeng muka apabila perlu berada di luar rumah.
Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyatakan pihaknya sudah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika kadar bacaan IPU di Malaysia terus meningkat melebihi 500.
Menurut kenyataan agensi itu, jika keadaaan itu berlaku, tindakan akan diambil mengikut garis panduan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan termasuk mengisytiharkan darurat bencana jerebu di kawasan yang terjejas.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Johorkini