BM | EN | 中文

Azmin perlu bincang dengan negeri, bukan ugut

Azmin-Ali.jpeg

Gambar Ehsan businesstoday.com.my/

Advertisement

SEGAMAT, 5 MEI: Kenyataan Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan negeri akan berdepan saman dari pihak industri sekiranya enggan buka semula sektor ekonomi berkenaan adalah tidak wajar.

Mengulas perkara tersebut, Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor berkata Azmin yang bertanggungjawab terhadap perdagangan dan industri, sepatutnya berbincang dengan wakil-wakil negeri tentang kaedah terbaik membuka semula ekonomi negeri-negeri secara bersepadu dan lebih terselaras.

Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor

“Kerajaan negeri secara langsung bertanggungjawab terhadap kehidupan dan nyawa warga negeri disamping menjaga kepentingan kehidupan setiap warga negeri.

Advertisement

“Bukan mudah kerajaan negeri membuat keputusan, apatah lagi dalam keadaan keputusan ‘mengejut’ dibuat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei, sedangkan secara mental ramai bersedia untuk pelaksanaan pada 12 Mei 2020.

“Kerajaan negeri lebih mengetahui tahap kesediaan negeri masing-masing, oleh itu sewajar kerajaan negeri diberi peluang membuat ‘soft landing’ melalui persiapan yang lebih rapi serta persediaan mental yang lebih jitu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kenyataan tersebut dilihat tidak wajar kerana kerajaan pusat dan negeri saling bergantung dalam membangun ekonomi negara dan negeri.

Advertisement

Dr Sulaiman yang juga merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor turut keliru dengan tindakan kerajaan negeri Johor yang bersetuju dengan PKPB seharusnya pelaksanaan mestilah mengikut kemampuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Adakah ini bermakna ada kilang dan syarikat akan beroperasi pada satu kawasan dan ada yang tidak akan beroperasi?

“Kerajaan negeri perlu tahu bahawa kilang dan syarikat antara daerah saling berkait dalam dunia rantaian bekalan (supply chain),” katanya lagi.

Advertisement

Beliau turut menambah bahawa penyelarasan yang baik perlu berlaku pada peringkat negeri bagi menjayakan ekonomi dunia baru.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan persekutuan tidak boleh sekadar bergantung dari Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk memaksa kehendak pusat terhadap kerajaan negeri.

“Merujuk butiran No.7 dalam Senarai III, senarai bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kerajaan persekutuan bersama-sama kerajaan negeri-negeri mempunyai kuasa bersama dalam perkara Kesihatan Awam dan Pencegahan Penyakit.

Advertisement

“Perlu diingat bahawa Senarai III, Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan status kuasa perundangannya lebih tinggi berbanding akta 342 tersebut.

“Saya menyeru supaya Azmin, Muhyiddin Yassin dan kerajaan pusat mengambil pendekatan terbaik dengan menghormati kuasa kerajaan-kerajaan negeri kerana Malaysia ini sebuah persekutuan yang mengamalkan prinsip ‘federalisme’ yang bidang kuasa masing-masing (negeri dan persekutuan) telah tertulis dengan nyata di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan itu perlu dilihat ada kewibawaan, diyakini, tepat dan boleh dipertanggungjawabkan supaya ia akan dihormati oleh semua pihak, sama ada rakyat, pihak industri, pelabur dan masyarakat antarabangsa,” kata Hassan.

Advertisement

Semalam enam negeri tidak membuka sektor ekonomi yang dijadualkan pada 4 Mei, iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top