BM | EN | 中文

Azam Baki boleh dipenjara jika ingkar sepina PSC – Kit Siang

azam-baki.jpg

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Ketua Peseruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Azam Baki boleh dipenjarakan kerana menghina Parlimen sekiranya beliau ingkar sepina Parlimen untuk hadir memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari ini untuk membersihkan pertuduhan konflik kepentingan yang dihadapinya.

Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata Azam tersilap apabila mengatakan beliau hanya bertanggungjawab kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM sedangkan beliau juga bertanggungjawab kekal telus dan jujur kepada Parlimen dan rakyat Malaysia.

“Azam tidak sepatutnya cuba menguji kuasa Parlimen untuk menghukumnya atas penghinaan kepada Parlimen sekiranya beliau mengingkari sepina JPK mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu hadapan.

“Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dengan jelas memperuntukan yang Parlimen boleh menghukum Azam atas kesalahan menghina Parlimen sekiranya beliau ingkar dengan arahan hadir di hadapan JPK Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri, Ismail Sabri, telah mengatakan yang SPRM telah memulakan siasatan mereka ke atas kes Azam, tetapi, masih terdapat persoalan besar mengenai siapa di dalam SPRM yang akan mengetuai siasatan ini,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ujar KIt Siang, keseluruhan kontroversi ini boleh diselesaikan sekiranya Azam sendiri hadir secara sukarela di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membersihkan namanya daripada sebarang pertuduhan mengenai konflik kepentingan.

“Mengapa beliau tidak bersedia untuk berbuat demikian? soal Kit Siang.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top