KUALA LUMPUR, 20 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Ahad, 22 Mac.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya petang tadi memaklumkan, orang ramai diminta bekerjasama dan mematuhi perintah tersebut dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.
“Bermula daripada Ahad, 22 Mac 2020 jam 12.01 pagi, Angkatan Tentera Malaysia akan ditugaskan untuk membantu Polis Diraja Malaysia dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam membasmi penularan wabak Covid-19.
“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa seperti mana keperluan dalam Perintah Kawalan Pergerakan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap orang ramai yang ingkar dan tidak mematuhi perintah tersebut,” kenyataan tersebut dipetik.
Sehingga hari ini Malaysia mencatatkan 1,030 kes jangkitan Covid-19 apabila apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan 130 kes positif baru hari ini.
Daripada jumlah itu 204 adalah PUI (pesakit dalam siasatan), 177 kontak rapat, 624 kluster tabligh, 23 jangkitan respiratori akut yang teruk (SARI) atau wabak penyakit seperti influenza (ILI) dan dua dari misi kemanusiaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebentar tadi mengesahkan kematian ketiga berkaitan wabak Covid-19 di Sabah.
Pada 17 Mac, pesakit 178, seorang lelaki berusia 34 tahun yang menghadiri perhimpunan tabligh disahkan meninggal dunia di Johor, selain seorang lagi mangsa, pesakit 358, iaitu paderi berusia 60 tahun di Sarawak.
Johorkini