BM | EN | 中文

Atlet Johor Muhammad Arsyad miliki ‘faktor X’ untuk pergi lebih jauh

Muhammad-Arsyad-miliki-faktor-X-untuk-pergi-lebih-jauh.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 17 APR: Ketinggian 184 cm dimiliki atlet Johor Muhammad Arsyad Md Saat memberi kelebihan kepadanya sehingga berjaya mencipta kejutan dengan muncul sebagai raja pecut 100 meter (m) lelaki dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia, di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Lebih manis, catatan masa larian 10.64 saat (s) yang direkodkan oleh anak didik jurulatih pecut Mohd Poad Md Kassim dalam kejohanan itu merupakan rekod baharunya selepas mencatatkan 10.70s semasa Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia pada 2019.

Kejayaan itu sudah cukup untuk mengecewakan atlet kebangsaan dari Sarawak Jonathan Nyepa yang berada di tempat kedua (10.70s), manakala Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak di tempat ketiga (10.85s).

Advertisement

Bagi Mohd Poad, Muhammad Arsyad yang dibimbing sejak 2019, memiliki kelebihan dan ‘faktor x’ iaitu ketinggiannya untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam acara pecut pada masa hadapan.

“Muhammad Arsyad ada potensi jauh…dari segi ukuran lebih tinggi daripada atlet lain, saya yakin dia boleh mencipta rekod pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan GP Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau mengakui tidak menyangka pelari pecut muda itu mampu melakar kejayaan pada acara itu dan hanya menyasarkannya untuk mencatat rekod baharu peribadi dalam kejohanan itu.

Advertisement

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu turut diharap mampu mengekalkan momentum lariannya sekali gus mencerahkan peluang untuk sekurang-kurangnya tersenarai dalam kuartet 4x100m lelaki pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, November ini.

Mohd Poad sebelum ini pernah membimbing dua atlet pecut meraih emas pada acara riben biru dalam dua temasya Sukan SEA berturut-turut menerusi Khairul Hafiz Jantan di Kuala Lumpur pada 2017 dan Muhammad Haiqal Hanafi di Manila, Filipina pada 2019.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top