BM | EN | 中文

AS, Iran perlu elak ketegangan – Pemuda Amanah Johor

IMG-20200110-WA0037.jpg
Advertisement

PONTIAN, 11 JAN: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Muhamad Taqiuddin Cheman berharap ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dapat dikendurkan.

Menurut Taqiuddin, beliau gusar sekiranya wujud reaksi agresif yang tidak dapat dijangka antara negara terbabit sehingga merencatkan keharmonian sejagat.

Beliau berkata, meskipun serangan kedua pihak terhenti berikutan langkah Dewan Perwakilan AS mengundi bagi mengehadkan kuasa Presiden AS, Donald Trump untuk mengambil tindakan ketenteraan atas Iran, namun perkembangan selanjutnya perlu dipantau rapat.

Advertisement

“Sebarang reaksi provokatif yang boleh menjadi punca ketidakstabilan di wilayah tersebut akan memberi kesan kepada Asia Barat.

“Bahkan ekonomi dunia akan turut terjejas sekiranya berlaku konflik di wilayah tersebut yang boleh mengakibatkan kenaikan harga komoditi minyak.

“Seharusnya setiap pihak mengelakkan tekanan. Kaedah terbaik bagi mengekalkan keamanan adalah melalui dialog dan rundingan,” katanya.

Advertisement

Taqiuddin yang juga ADUN Pulai Sebatang turut memberitahu, keamanan perlu segera dikembalikan di wilayah itu selain mengelakkan dari terjadinya perang proksi di Iraq, yang sedia kala telah ‘hangus’ akibat perang semenjak 30 tahun lalu.

“Masyarakat dunia mahukan keamanan. Iraq yang telah lama terlibat dalam kancah peperangan mahu kembali membina keamanan di negaranya. Rakyat di negara itu perlu diberikan peluang.

“Anak-anak muda di seluruh dunia juga mengutuk tindakan yang boleh menyebabkan kehilangan jutaan nyawa yang tidak berdosa. Mari kita belajar dari apa yang pernah berlaku dahulu,” tegas Taqiuddin.

Advertisement

Pada 8 Januari lalu, tentera Iran melepaskan sekurang-kurangnya 12 roket ke pangkalan tentera AS dan tentera bersekutunya di Ain al-Asad dan Irbil, dekat Iraq.

Serangan itu adalah tindakan balas berikutan kematian komander tertinggi tentera elit Iran, Qassem Soleimani, dalam serangan dron oleh AS berhampiran lapangan terbang Baghdad pada 3 Januari lalu.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top