BM | EN | 中文

APMM tahan tiga lelaki dipercayai curi besi buruk dari kapal

APMM-tahan-tiga-lelaki-dipercayai-curi-besi-buruk-dari-kapal.jpg

JOHOR BAHRU, 5 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia dan merampas lebih dua tan besi buruk yang dicuri di perairan Pontian, 2 Ogos lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata kesemua lelaki berumur antara 23 dan 43 tahun yang menaiki sebuah bot kayu itu ditahan pada 12.30 malam di kedudukan kira-kira 3.2 batu nautika tenggara Pulau Kukup.

“Daripada maklumat yang diterima Pusat Operasi APMM Johor dan pantauan radar Area Control Center (ACC) Johor di Tanjung Piai, kapal peronda APMM yang sedang melaksanakan Op Jaksa berjaya mengesan dan menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran atau lebih dikenali sebagai bot lima sore bersama tiga individu yang disyaki melakukan jenayah curi,” katanya, lapor Bernama.

Aminuddin berkata pemeriksaan di dalam bot tersebut menemui lebih dua tan besi buruk yang dipercayai dicuri daripada kapal-kapal yang bergerak perlahan dan mempunyai ketinggian dari aras permukaan laut yang rendah.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua lelaki itu melakukan jenayah tersebut secara berkumpulan, namun, tidak menggunakan senjata.

Katanya bot dan ketiga-tiga mereka kemudian dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai, Pontian untuk siasatan lanjut.

“APMM Johor akan sentiasa mengoptimumkan segala sumber yang ada untuk mengekang dan membanteras kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang yang terpakai di Zon Maritim Malaysia.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang boleh menghubungi Pusat Operasi APMM Johor di talian 07-2199041 manakala bagi sebarang kejadian kecemasan di laut hubungi MERS 999,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top