BM | EN | 中文

APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran di Tanjung Piai

Agensi-Penguatkuasaan-Maritim-Malaysia-APMM.png

JOHOR BAHRU, 6 SEPT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian, semalam kerana didapati berlabuh tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata kapal yang berdaftar di Malabo, Equatorial Guinea itu ditahan kapal peronda APMM pada 11.44 pagi, di kedudukan 4.1 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

“Kapal terbabit membawa muatan kira-kira 80 tan minyak diesel marin (MDO) dan ketika diperiksa, nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata kapal sepanjang 23 meter itu dikendalikan lima kru rakyat Indonesia termasuk nakhoda, yang kesemuanya berumur lingkungan 24 hingga 56 tahun.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan dengan nakhoda serta seorang kru terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Laut dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Nurul Hizam menasihati para pengusaha atau pemilik kapal agar memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti kerana pihak APMM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top