BM | EN | 中文

APMM TAHAN KAPAL BERLABUH TANPA KEBENARAN

kapal-ditahan-1.jpg

KOTA TINGGI, 22 OKT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) berjaya menahan sebuah kapal jenis Motor Tanker (MT) kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, tengahari semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal dengan tanda nama ‘erica 10’ dengan ukuran panjang 112 meter berdaftar di Jakarta, Indonesia telah ditahan pada kedudukan 13.5 batu nautika Timur Tanjung Penawar.

Menurutnya, penahanan pada jam kira-kira jam 12.10 tengahari itu dilakukan kerana kapal berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia.

“Erica 10 yang dikendalikan oleh 20 kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 22 hingga 53 tahun warganegara Indonesia akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, ini merupakan penahanan kelima sepanjang sebulan yang lalu di sekitar Perairan Beting Timur, Tompok Utara dan Beting Ramunia di antara tujuh ke 20 batu nautika Timur Tanjung Penawar melibatkan kesalahan sama.

Tambahnya, penahanan ini juga sebahagian langkah-langkah pencegahan kejadian kecurian ke atas kapal dan rompakan di laut.

Katanya, tindakan itu juga diambil memandangkan Maritim Malaysia telah menerima enam aduan sedemikian di Perairan Timur Negeri Johor yang dipanjangkan melalui International Maritime Bureau (IMB).

”Diingatkan juga bahawa Perairan Permatang Timur (Eastern Bank), Beting Ramunia (Ramunia Shoal) dan Tompok Utara (North Patch) masih berada dalam Perairan Wilayah Malaysia dan bukannya Perairan Antarabangsa walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika daripada daratan terdekat.

“Amaran demi amaran kita telah berikan samada melalui IMB Piracy Alert dan juga Navigational Telex (NAVTEX),” katanya lagi.

Jelasnya, Maritim Malaysia juga ingin menegaskan supaya kapal-kapal di kawasan tersebut supaya mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia atau segera beredar kerana operasi akan digiatkan dari masa ke semasa.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top