BM | EN | 中文

APMM tahan bot utiliti tanpa dokumen pelepasan pelabuhan di Kota Tinggi

Malaysian_Maritime_Enforcement_Agency_apmm.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 26 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah bot utiliti di perairan Kota Tinggi semalam kerana didapati tidak memiliki dokumen pelepasan pelabuhan.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata bot itu ditahan di kedudukan 9.4 batu nautika timur Tanjung Balau, kira-kira 2.30 petang oleh kapal ronda APMM setelah dikesan berapung-apung di kawasan berkenaan.

“Nakhoda bot itu mengaku membawa alat ganti dari Singapura ke sebuah kapal tangki diuruskan sebuah syarikat berpangkalan di Greece yang dikatakan sedang bersauh, namun tiada sebarang manifes atau pelepasan pelabuhan dapat dikemukakan ketika diperiksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Advertisement

Mohd Zulfadli berkata bot yang berdaftar di Mongolia itu dikendalikan empat lelaki termasuk nakhoda warga Indonesia yang kesemuanya berumur 31 hingga 41 tahun.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke APMM Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44 Akta Kastam 1967 kerana berapung-apung dan Seksyen 474(2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bot asing menyediakan perkhidmatan tanpa lesen yang sah dalam perairan wilayah Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik dan pengusaha perkapalan supaya menggunakan perkhidmatan tempatan apabila berada di perairan Malaysia.

Advertisement

“APMM tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya dan sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan demi memastikan perairan negara khususnya perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang,” kata Mohd Zulfadli.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top