BM | EN | 中文

APMM Johor rampas syabu disembunyikan dalam tong minyak bernilai RM200,000

APMM-syabu-sungai-pulai-tanjung-pelepas.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 22 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor merampas dadah jenis syabu bernilai RM200,000 yang disembunyikan di dalam tong minyak, susulan pemeriksaan ke atas sebuah bot kayu di perairan Pulau Merambong dekat Pontian, Rabu.

Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata rampasan dibuat selepas bot ronda yang melaksanakan Op Jaksa di perairan Tanjung Pelepas mengesan bot kayu berkenaan di kedudukan 0.4 batu nautika barat daya pulau tersebut yang dipandu oleh seorang individu dalam keadaan mencurigakan pada 3 pagi.

Bagaimanapun katanya, individu terbabit bertindak memecut laju ke kawasan cetek sebaik menyedari dihampiri bot ronda maritim, lalu melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

Advertisement

“Bot yang ditinggalkan individu berkenaan digeledah dan kita menemukan empat bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah penis syabu seberat empat kilogram (kg) yang disorok dalam sebuah tong minyak dengan setiap satu bungkusan dianggarkan seberat satu kilogram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan menggunakan enjin sangkut jenama Suzuki 15 kuasa kuda itu ditunda ke Jeti Maritim Sungai Pulai, manakala kesemua dadah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nurul Hizam berkata APMM memandang serius operasi penguatkuasaan di laut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

Advertisement

Masyarakat juga diseru bekerjasama dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa sekali gus melaporkan sebarang aktiviti jenayah di perairan Johor dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top