BM | EN | 中文

APMM gagalkan cubaan tiga kapal pindah minyak tanpa kebenaran di perairan Sedili

APMM-Sedili-15-OKT-2020.jpg

Gambar Ehsan APMM

Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan tiga kapal melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Sedili, dekat Kota Tinggi, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Zon Maritim Tanjung Sedili terdahulu menerima aduan daripada komuniti maritim setempat mengenai aktiviti kapal ke kapal (STS) yang mencurigakan di perairan Tanjung Sedili

Susulan itu, kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Jaksa kemudiannya mengesan tiga kapal terbabit yang merapat antara satu sama lain di kedudukan 14 batu nautika Timur Tanjung Sedili Besar pada pukul 7 malam tadi.

Advertisement

“Kapal-kapal yang ditahan ini jenis kapal angkut minyak mentah sangat besar (VLCC), kapal tangki dan bot perkhidmatan/pembekalan, dan melalui hasil pemeriksaan lanjut mendapati VLCC sedang memindahkan minyak kepada sebuah kapal tangki.

Kapal-kapal tesebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran atas aktiviti yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Nurul Hizam, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran, Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Laut dan Seksyen 474 OPS 1952 kerana menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran.

Advertisement

Katanya, kes juga akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Mereka yang terlibat turut boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang Penjawat Awam ketika menjalankan tugas kerana enggan memberi kerjasama untuk pemeriksaan dijalankan.

“VLCC sepanjang 333 meter yang berdaftar di Comoros itu dikendalikan oleh 20 kru termasuk nakhoda merangkumi 19 lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan.

Advertisement

“Kapal tangki pula yang didaftarkan di Labuan, Malaysia, dikendalikan oleh 24 kru termasuk nakhoda dengan 15 lelaki warga India, lima lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki warga Rusia.

“Manakala bot perkhidmatan yang berdaftar di Indonesia dikendalikan oleh lapan kru dan nakhoda yang kesemuanya lelaki warga Indonesia,” katanya.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(L) dan Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top