BM | EN | 中文

APMM gagalkan cubaan pindah minyak tanpa kebenaran di Tanjung Balau

Agensi-Penguatkuasaan-Maritim-Malaysia-APMM.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 29 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan sebuah kapal tangki yang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran pada kedudukan 6.7 batu nautika timur laut Tanjung Balau, dekat Kota Tinggi, kelmarin.

Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata pihaknya mendapat makiumat melalui aduan kru sebuah kapal tahanan APMM yang telah dipaksa untuk menerima kehadiran sebuah kapal tangki tidak dikenali dan cuba merapat bagi melakukan aktiviti mencurigakan.

Susulan itu, Zon Maritim Tanjung Sedili menghubungi kapal yang ditahan dan sebuah kapal serta bot ronda APMM telah diatur ke lokasi kejadian bagi mengesan kapal tangki terbabit, kira-kira pukul 3.45 pagi.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki yang berdaftar di Belize, Amerika Tengah itu disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak kapal ke kapal (STS) dengan sebuah kapal di bawah tahanan APMM negeri yang sedang dalam proses menunggu perbicaraan.

“Nakhoda kapal juga didapati gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh serta aktiviti yang dijalankan.

“Oleh itu, nakhoda dan ketua jurutera kedua-dua kapal terbabit dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,’ katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Advertisement

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata 10 kru warga Indonesia berumur antara 24 hingga 60 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, daripada kapal tangki berkenaan, turut ditahan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4916(1)(1) dan Seksyen 4916 (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top