BM | EN | 中文

“Apa salahnya saya atur lawatan Najib untuk bantu calon MCA” – Nur Jazlan

nur-jazlan-bn-umno.jpg

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata dia telah mengatur lawatan bekas perdana menteri Najib Razak ke Johor untuk membantu kempen calon MCA.

Jazlan berkata dia berbuat demikian untuk membantu calon MCA di kerusi DUN Perling yang tidak dikenali.

“Dari tak dikenali sekarang dia masuk FB Datuk Seri Najib ada 4.8 juta pengikut, maka dia jadi terkenal. Nama dia orang tau.

“Untuk saya Datuk Seri Najib menjadi force juga dalam PRN ini di mana rakyat rindu zaman kegemilangan ekonomi, kestabilan politik di bawah Datuk Seri Najib,” katanya, lapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara di pejabatnya yang terletak di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, dinamakan sempena nama arwah bapanya yang merupakan ahli parlimen Pulai selama tiga dekad.

Nur Jazlan berkhidmat sebagai ahli parlimen Pulai dari 2004 sehingga dia tewas di kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.

Ketika ditanya apakah keputusan membawa Najib berkempen di Johor tidak akan memakan diri bagi Umno, Nur Jazlan berkata “Kita tengoklah nanti keputusannya”.

Pada Ahad lalu, MCA memulakan kempen untuk calonnya di kerusi DUN Perling, Nicole Tan Hiang Kee dengan menjemput Najib bagi membantu kempen berkenaan.

Mereka pada masa itu mengunjungi medan selera di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Najib dilihat bergambar dan berlaga penumbuk dengan pengunjung di kawasan itu, malah ada yang menyambutnya dengan sorakan ‘Bossku’.

Ahli Parlimen Pekan itu juga sebelum ini mengadakan lawatan ke perarakan tahunan popular Johor Chingay dan melawat Sekolah Tinggi Foon Yew, iaitu sekolah persendirian Cina terbesar di negara ini.

Jazlan mempertahankan langkahnya mengatur lawatan Najib ke Johor, sambil menegaskan komponen Pakatan Harapan seperti Amanah juga dibantu oleh jentera DAP.

“Jadi tak salah kalau saya nak bantu calon MCA dengan mengaturkan lawatan Datuk Seri Najib.

“Yang penting dari segi optik memang Datuk Seri Najib masih lagi popular,” katanya.

Tan akan menentang Khoo Siaw Lee dari Perikatan Nasional (PN) dan Liew Chin Tong dari Pakatan Harapan.

Liew, yang juga pengerusi DAP Johor sebelum ini berkata, walaupun Najib cuba menunjukkan popularitinya dalam kalangan masyarakat Cina, majoriti golongan pengundi pertengahan Cina tidak mungkin menerima pemimpin yang dituduh atau disabitkan dengan rasuah besar.

Jazlan berkata naratif “kuster mahkamah” yang digunakan oleh musuh BN terhadap Najib dan pemimpin parti itu yang didakwa kerana rasuah tidak lagi berkesan.

Dia turut membidas Liew dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dengan melabelkan dua pemimpin DAP itu sebagai “wakil rakyat gipsi” kerana sering berpindah daripada satu kerusi ke kerusi pilihan raya yang lain.

“Dulu adalah aura DAP yang mengagungkan Lim Kit Siang sebagai pemimpin, tetapi sekarang ni dari tinjauan saya buat, dua tiga hari saya turun ke Bukit Indah kawasan yang dulu memang menyokong kuat DAP, sekarang masing-masing kata cukuplah, kami nak wakil rakyat yang berkhidmat, bukan wakil rakyat gypsy macam Lim Kit Siang atau Liew Chin Tong,” katanya.

Johorkini

 

Share this post

scroll to top