KLUANG, 25 JUN: Ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi mencadangkan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran keatas semua sektor yang diberi kelulusan untuk beroperasi.
Katanya, keadilan perlu diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana sektor itu masih tidak dibenarkan beroperasi ketika pengusaha industri yang besar dibenarkan.
“Kes beribu-ribu dari kilang besar yang dapat kelulusan MITI. Ujian saringan besar-besaran tak ada, kes bertambah.
“Yang terpaksa tutup, PKS pula. Apa salah IKS dan pekerja mereka? kata Shu Qi dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya banyak PKS dalam sektor perkhidmatan ditutup lebih awal daripada sektor lain seperti salon, pusat persolekan pusat, urut tradisi dan sebagainya.
“Majikan dan pekerja dalam sektor tersebut adalah manusia juga. Mereka tidak harap apa-apa bantuan pun kalau boleh beroperasi.
“Malangnya, mereka yang paling awal disuruh tutup, paling lewat yang dapat keizinan operasi,” ujarnya lanjut.
Tambah beliau, hari ini telah memasuki hari ke-25 “total lockdown” melalui tafsiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun jumlah kes masih mencecah angka lebih lima ribu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada 30 Mei ketika mengumumkan sekatan pergerakan berkata, semua sektor ekonomi dan sosial tidak akan dibenarkan beroperasi kecuali 17 perkhidmatan penting.
Sektor berkenaan adalah seperti berikut:
1. Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
2. Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar
3. Air
4. Tenaga
5. Keselamatan (security and safety), pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
6. Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan
7. Pengangkutan melalui darat, air atau udara
8. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang.
9. Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran.
10. Perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal
11. Kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-rahnu)
12. E-dagang dan teknologi maklumat
13. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir
14. Hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin dan bukan tujuan pelancongan)
15. Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
16. Perkhidmatan perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan hidupan liar
17. Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu
Johorkini