KULAI, 2 JAN: Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus bertindak pantas menilai kerosakan yang telah berlaku dan memberikan bantuan dengan kadar segera kepada mana-mana sekolah yang memerlukan.
Ahli parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, ini memandangkan hanya beberapa hari sahaja tinggal untuk sesi persekolahan tahun 2022.
“Bilangan sekolah yang mengalami kerosakan teruk adalah sangat merisaukan.
“Saya faham bahawa Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin telah pun melawat beberapa sekolah yang terkesan dengan banjir dan Timbalannya Dr Mah Han Soon telah melawat beberapa sekolah SJKT/SJKC yang terkesan dengan banjir.
“Untuk SJKT, peruntukan penyelengaraan 2021 masih belum dihabiskan, dengan berbaki RM7.98 juta,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyentuh isu melibatkan SJKT Pulau Carey Barat, SJKT Dengkil, SJKT Taman Permata,Dengkil, SJKT Ladang Selangor River di mana sekolah-sekolah tersebut antara sekolah yang amat terkesan dengan musibah banjir ini.
“Justeru itu, saya ingin menyeru bahawa peruntukan penyelenggaran yang sedia ada perlulah disalurkan bagi meringankan beban komuniti sekolah tersebut.
“Sekolah-sekolah tersebut telah pun mula meminta bantuan daripada orang ramai dan kerja-kerja pembaikpulihan harus bermula secepat mungkin.
“Oleh kerana orang ramai juga menanggung kerugian yang besar akibat banjir, beban baikpulih tidak harus ditanggung oleh orang ramai dan harus ditanggung oleh kerajaan.
Gunakan peruntukan RM7.98juta untuk SJKT yang terkesan terlebih dahulu dengan kadar segera,” katanya lagi.
Johorkini