KOTA TINGGI, 8 JAN: Anggota dan aset logistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri-negeri yang tidak terlibat banjir akan dimobilisasikan ke negeri yang terjejas teruk dengan bencana itu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau berkata ketika ini 12,500 pegawai dan anggota dari 320 balai bomba seluruh negara sudah bersiap sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi situasi luar jangka termasuk catuan cuti, sekiranya keadaan banjir makin teruk.
Menurutnya kesiagaan itu turut meliputi 220 hingga 280 aset darat, 450 aset marin serta lima pesawat helikopter milik agensi penyelamat berkenaan.
“Setakat ini, ikut rekod kita ada 12,500 kakitangan. Dalam keadaan sekarang dan sekiranya keadaan bertambah krikital, catuan cuti akan bermula, tetapi kita percaya 12,500 anggota ini cukup ramai untuk mengendalikan kes (situasi banjir),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja di BBP Kota Tinggi di sini semalam yang turut diiringi oleh Pengarah JBPM Johor Datuk Yahya Madis.
Mohammad Hamdan berkata pihaknya telah merangka strategi ini sejak bulan Oktober lagi, selain turut bekerjasama dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), Tentera Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyelaras perancangan.
Beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca hujan dan banjir dijangka berterusan sehingga Mac ini.
Katanya setakat ini cuaca buruk menyebabkan enam negeri iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan, Perak dan Sabah dilanda banjir, yang memaksa 410 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan seramai 36,424 mangsa dari 9,620 keluarga.
Bernama