BM | EN | 中文

Ambil anak di asrama sekolah Johor Bahru guna konsep pandu lalu

Ibu-bapa-ambil-anak-di-asrama-guna-konsep-pandu-lalu-di-JB.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 31 OKT: Ibu bapa yang mengambil anak mereka dari asrama didapati menggunakan konsep ‘pandu lalu’ yang diperkenalkan sekolah sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan arahan penutupan semua institusi pendidikan di daerah ini mulai esok.

Tinjauan di beberapa sekolah yang mempunyai asrama di sini mendapati proses berkenaan berjalan secara teratur tanpa kesesakan dengan ibu bapa yang menaiki kenderaan masing-masing hadir di kawasan sekolah mengikut masa yang telah ditetapkan.

Kebanyakan ibu bapa yang ditemui memberitahu telah dimaklumkan mengenai penutupan sekolah dan cara mengambil anak mereka melalui aplikasi WhatsApp malam tadi setelah arahan rasmi penutupan dikeluarkan Kementerian Pendidikan berikutan pengisytiharan Johor Bahru sebagai zon merah.

Advertisement

Seorang bapa, Mohd Yusuf Ahmad berkata dia dimaklumkan oleh guru anaknya mengenai perkara itu menerusi kumpulan WhatsApp sekolah.

“Mengenai pembelajaran, guru sudah memaklumkan akan ada pembelajaran dalam talian, jadual akan dikongsi kemudian,” katanya ketika ditemui setelah mengambil anaknya di luar asrama puteri Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Mohd Yusuf, 52, yang merupakan seorang pengarah eksekutif di sebuah syarikat swasta itu, berkata peperiksaan akhir anaknya yang dijadualkan bermula esok, juga telah ditangguhkan hingga diberitahu kelak.

Advertisement

Sementara itu, Juraini Mohd Salleh yang mengambil anaknya di sebuah sekolah agama berasrama di sini, berkata pihak sekolah turut menyusun jalan dan pintu keluar berbeza bagi pelajar lelaki dan perempuan bagi mengelakkan kesesakan selain memudahkan pengambilan anak-anak oleh ibu bapa.

“Saya terima maklumat daripada pihak sekolah pada 11 malam tadi. Sebelum itu saya sudah mendengar berita mengenai penutupan (sekolah) di televisyen, jadi saya sudah bersedia,” kata wanita berusia 53 tahun itu.

Meskipun bimbang mengenai pembelajaran anak lelaki yang kini berada di tingkatan empat, dia yakin pembelajaran akan diteruskan meskipun terpaksa mematuhi SOP dan duduk di rumah susulan pengiystiharan daerah itu sebagai zon merah.

Advertisement

Difahamkan terdapat 11 buah asrama harian dengan 2,086 pelajar yang terlibat dengan arahan penutupan oleh Kementerian Pendidikan itu.

Terdahulu, kementerian mengumumkan penutupan kesemua 376 institusi pendidikan di daerah Johor Bahru dan sebahagian Kulai susulan pengisytiharan zon merah bagi daerah Johor Bahru berikutan peningkatan kes COVID-19.

Turut diumumkan penutupan 217 institusi pendidikan Islam di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor mulai esok hingga 14 Nov ini.

Advertisement

Bernama

 

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top