BM | EN | 中文

AMANAH TERIMA KARMAINE SECARA POSITIF

aminolhuda-7.jpg

PONTIAN, 31 OKT : Amanah Johor menerima secara positif calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan berkata, kekuatan pengaruh anak tempatan seperti Karmaine amat diperlukan di kawasan Tanjung Piai ini.

Katanya, beliau juga yakin dengan kaliber dan ketokohan Karmaine yang begitu merendah diri mampu menarik perhatian pengundi di sini.

“Beliau dilihat positif dari segenap sudut dan keperibadian beliau yang baik akan menonjolkan diri beliau selaku calon mampu untuk menang di sini.

“Perkara lain yang mampu dibawa beliau adalah penglibatan beliau dengan masyarakat, hubungan yang sangat erat serta calon yang mempunyai hala tuju yang jelas terhadap pembangunan di Tanjung Piai ini.

“Bagi kami (Amanah) kerja dengan beliau akan lebih mudah kerana selain anak tempatan beliau juga sudah terbiasa dengan keadaan geografi di sini,” katanya ketika ditemui di program Pengumuman Calon PH PRK Tanjung Piai.

Aminolhuda memberitahu, gerak kerja Amanah seterusnya adalah memperkenalkan calon tersebut kepada orang ramai dan setakat ini program ramah mesra dengan pengundi sedang dijalankan.

Suhaizan

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PH Johor, Suhaizan Kaiat berkata, calon tersebut sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia politik.

“Sedia maklum beliau sudah lama berkecimpung dalam politik kerana sebelum ini bersama Umno sebelum kemudiannya bersama-sama dengan Allahyarham Dr Farid mengasaskan Bersatu di Tanjung Piai.

“Beliau juga mempunyai pengaruh yang besar di sini selain mempunyai latar belakang pendidikan yang baik serta mendapat sambutan yang baik di kawasan pendalaman Tanjung Piai.

“Kita akan memastikan bahawa calon PH ini menang di kawasan ini dan dengan gerak kerja yang baik saya yakin ia akan membuahkan kemenangan,” katanya.

Suhaizan yang merupakan Naib Pengerusi Amanah Johor berkata, beliau optimis dengan pemilihan calon dari PH pada PRK Tanjung Piai ini.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top