JOHOR BAHRU, 10 MAC: Parti Amanah Negara (Amanah) Tebrau akan terus mengadakan gerak kerja bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di sini.
Menurut Naib Ketua Amanah Kawasan Tebrau, Norhayati Bidin, selepas berlaku pengkhianatan ahli parlimen Tebrau, Steven Chong yang mengumumkan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), pengkhususan gerak kerja PH perlu dieratkan lagi.
“Kita akan terus berjuang bersama untuk memastikan kemenangan PH dalam PRU akan datang.
“Hubungan antara kesemua parti perlu bagi meyakinkan semula pengundi pelbagai kaum yang ada di parlimen ini.
“Matlamat kita untuk memenangi kesemua kerusi selepas dua diantaranya iaitu DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dimenangi Bersatu dan parlimen Tebrau telah melompat parti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pertemuan dengan semua peringkat parti komponen PH akan diadakan dalam usaha merencana gerakan seterusnya.
Tambahnya, beliau turut mahu memastikan pilihan calon pada PRU 15 akan datang adalah terdiri dari mereka yang berprinsip.
“Mereka yang sebelum ini menumpang gelombang yang dimiliki PH seperti Parlimen Tebrau dan Dun Puteri Wangsa dan akhirnya khianat.
“Kita juga akan membincangkan secara khusus selepas pembahagian kerusi dibuat.
“Mengenai kenyataan pimpinan PKR Tebrau mengatakan palimen itu dan DUN Puteri Wangsa milik PKR, itu bukanlah dari semangat Pakatan Harapan.
“Buat masa ini belum ada keputusan rasmi pimpinan PH berkenaan pengagihan kerusi negeri Johor,” katanya lagi.
Johorkini