JOHOR BAHRU, 4 SEPT: Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Johor Dzulkefly Ahmad menyarankan agar konvensyen khas nasional diadakan bagi menbincangkan hala tuju parti itu.
Katanya, konvensyen khas itu dibenarkan menurut peruntukan dibawah Fasal 12, perlembagaan Amanah bertujuan untuk mengajak ahli memahami berkenaan iklim politik yang dihadapi parti tersebut ketika ini.
“Kita perlu mengadakan konvensyen ini kerana apa yang kita lihat, ahli semakin keliru dengan keadaan politik yang berlaku saat ini.
“Selain itu ukhwah di antara ahli juga perlu diwujudkan semula agar ahli saling mempercayai antara satu sama lain selepas badai politik yang melanda negara dapat dipulihkan dengan penjelasan dari kepimpinan tertinggi.
“Konvensyen tersebut juga mampu mencari kata putus yang muktamad dan sekaligus ahli di bawah mampu menjalankan gerak kerja mengikut panduan dan keputusan yang akan dibuat dalam konvensyen tersebut,” ujarnya ketika dihubungi.
Beliau yang merupakan Adun Kota Iskandar berkata, kebanyakan ahli memiliki pandanga tertentu bagi membincangkan keputusan sama ada mahu mengikut Tun Mahathir, Anwar atau beridentiti sendiri.
“Keputusan ini penting kerana masih terdapat di kalangan ahli yang mempunyai pandangan yang berbeza antara pro Tun dan Anwar.
“Ada juga yang berpendapat Amanah sebagai parti masa hadapan dan parti harapan rakyat Malaysia seharusnya mempamerkan semangat kekuatan berdiri atas kaki sendiri tanpa bergantung pada batang tubuh sesiapa pun.
“Saya harap dengan adanya konvensyen khas nasional yang mempunyai hierarki struktur kuasa tertinggi di dalam Perlembagaan Parti Amanah Negara setaraf dengan Konvensyen Nasional seperti termaktub dalam Fasal 9, akan memberi peluang dan ruang kepada kepimpinan tertinggi Parti Amanah untuk melakarkan halatuju Parti Amanah secara lebih jelas dan tuntas (menyeluruh dan lengkap) khususnys dalam suasana politik yang begitu dinamik mutakhir ini dan halatuju ini seharusnya mampu dikongsi bersama oleh seluruh ahli-ahli Parti Amanah.
“Harapan saya juga supaya konvensyen ini bakal melahirkan sinergi baru bagi memperkasakan serta membangunkan khususnya gerak kerja politik yang lebih sistematik dan berimpak di semua peringkat.
“Kepimpinan tertinggi Amanah seharusnya terbuka dalam menerima pandangan dari pimpinan dan ahli bawahan terutama diperingkat akar umbi.
“Jangan kita lupa sejarah penubuhan Parti Amanah adalah sebahagian besarnya hasil cetusan yang digerakan oleh golongan aktivis politik di peringkat akar umbi,” ujarnya lagi.
Johorkini