BATU PAHAT, 4 MEI: Parti Amanah Negara (AMANAH) Parit Sulong menggerakkan kerja dalam usaha mendapatkan kemenangan pada pilihan raua umum (PRU) ke-15 yang akan datang.
Menurut Ketua AMANAH Parit Sulong, Mohd Faizal Dolah sokongan yang diberikan oleh pengundi kepada gerak kerja parti amat memberangsangkan.
Katanya, sokongan tersebut turut diberikan oleh golongan muda yang semakin ramai mahu bersama dengan parti itu.
“Alhamdulillah, dengan gerak kerja yang kita jalankan ia menampakkan keberlangsungan yang baik khususnya sokongan kepada AMANAH.
“Dalam pada masa yang sama juga gerak kerja kami juga adalah untuk mendekatkan diri pemimpin setempat dengan penduduk di dua DUN (Sri Medan dan Semerah di sini.
“Sebelum ini pada PRU ke-14 yang lalu di parlimen ini, Pakatan Harapan telah berjaya menang di satu daripada dua DUN. Akan datang kita akan perkuatkan serta berusaha mendapatkan sokongan di DUN Sri Medan pula,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan usaha penjenamaan serta peremajaan sebagai usaha untuk menjadikan parti itu lebih inklusif.
Tambahnya, gabungan kepimpinan yang dirombak semula melibatkan muka lama dan baharu telah membawa semangat baharu dalam parti itu.
“Walaupun berlaku penjenamaan semula, namun asas dan prisnsip parti amanah yg menggagaskan konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ tetap didukung.
“Gabungan dari muka lama dan baharu ini memberi nafas serta peluang kepada semua ahli untuk melakukan pembaharuan atau penjenamaan dalam parti ini.
“Agenda utama kita hari ini adalah untuk mengadakan program bersama masyarakat. Selain mendekati mereka kita juga akan memperjuangkan nasib rakyat bawahan ini sebagai teras perjuangan kami.
“Sehingga hari ini, rakyat menyambut baik dengan gerak kerja kami dan perkara ini akan diteruskan serta dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya lagi.
Johorkini