LEDANG, 8 OKT: Parti Amanah Negara (AMANAH) Ledang hari ini mendesak agar Pakatan Harapan (PH) menarik diri dari memorandum persefahaman (MOU) bersama dengan kerajaan.
Gesaan itu dibuat oleh Ketua AMANAH kawasan itu, Azhar Ismail yang berpendapat kenyataan perdana menteri, Ismail Sabri menyalahkan pembangkang berkaitan kemelut politik dicetuskan empat Adun Melaka adalah amat keterlaluan dan berniat jahat terhadap PH.
Kata Azhar dalam kenyataan medianya semalam, dua daripada Adun Melaka tersebut adalah daripada UMNO-BN punca pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ismail tidak perlu menyalahlan PH.
“Amanah Ledang turut berpendapat Ismail Sabri sengaja mengalihkan kesalahan tersebut ke atas PH.
“Walhal perkara tersebut disebabkan sikap pemimpin UMNO-BN sendiri yang gemar memecah belahkan perpaduan rakyat dan mencetuskan ketidakstabilan politik walaupun mereka yang berkuasa.
“AMANAH Ledang turut kesal dengan tindakan melulu Ismail Sabri dan menganggap bahawa beliau telah melanggar titah Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar kestabilan politik diantara dua pihak diwujudkan bagi memberi perhatian kepada masalah rakyat yang mana ia telah dituruti oleh pemimpin PH.
“Justeru itu, setelah melihat kepada keadaan terbaharu ini, AMANAH Ledang berpendapat, tindakan Ismail Sabri ini adalah sangat tidak bertanggungjawab.
“Amat wajar PH menarik diri supaya PH tidak dijadikan ‘punching bag’ bagi pemimpin UMNO/BN untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kecurangan mereka sendiri,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Johorkini