JOHOR BAHRU, 11 APR: Sifat ekstrem yang boleh membawa kesan kepada diri, bangsa, agama mahu pun negara adalah bertentangan sama sekali dengan pendekatan yang dilakukan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH).
Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan ketika mengulas perkara tersebut menyatakan sifat ekstrem akan memudaratkan semua pihak.
Selain itu katanya, ia bukan sahaja memudaratkan malah memberi kesan yang negatif kepada faktor sekeliling seperti ketenteraman dalam negara.
“Sifat ekstrim ini adalah suatu yang tidak patut dianuti oleh rakyat Malaysia kerana bimbang ia akan membawa kemudaratan seperti hilangnya semangat dalam bermasyarakat harmoni.
“Lihat sahaja seperti perjuangan yang ditolak di zaman Nabi Muhammad SAW yang mana baginda tidak bersetuju dengan tindakan segelintir umat Islam yang mewujudkan suasana ekstrem.
“Pelbagai dalil boleh dicari bagi meniupkan semangat ekstrem agar pengikut atau pun ahli sesuatu kumpulan itu dapat menjadi seorang yang taksub lantas menjadi ekstrim,” katanya.
Dalam pada itu, Adun Parit Yaani itu menyatakan Parti Amanah telah membawa pendekatan yang dipanggil sebagai sederhana.
Tambahnya lagi, sifat sederhana ini membawa pendekatan secara ilmu bukan berasaskan emosi semata terhadap sesuatu perkara.
“Dalam Parti Amanah, kita akan dapat lihat bagaimana pelbagai pandangan di kalangan ahli dan kepimpinan dilontarkan dan ia langsung tidak menjurus kepada rasa taksub serta esktrim pada satu-satu pandangan.
“Perkara ini adalah suatu yang muhibah dan dapat dipastikan ia demi mengelak rasa ekstrim pada sesuatu perkara kerana ia akan dicanai melalui ilmu yang dibincangkan dalam Tanweer yang dianjurkan.
“Kita berharap rakyat di negara ini terhindar dengan sifat ekstrim atau pelampau ini. Paling malang sekali sekiranya pelampau atau esktrimis itu membawa nama agama dan bangsa demi mencapai cita-cita peribadi mereka,” katanya lagi.
Johorkini