Oleh: Khairil Adanan
Hujan renyai sesekali lebat ketika ini mungkin sebagai usaha untuk meredakan kehangatan yang berlaku di Mersing dalam tempoh dua tiga hari angkara keceluparan mulut ahli parlimen Mersing yang mengatakan Umno sudah tidak laku.
Permohonon maaf yang dibuat masih juga tidak mampu untuk menurunkan suhu panas apabila Dr Ahmad Latiff diserang di segenap peringkat pimpinan.
Sehingga semalam presiden Umno, Zahid Hamidi dalam tweet beliau menulis: ‘Minta maaf ke,salah tafsir ke, kerusi Mersing kekal milik Umno’.
Itu ayat Zahid Hamidi yang kata, kalau saya yang kata, nak tahu kekal atau tidak kerusi milik Umno – kena masuk pilihanraya dululah.
Mana boleh suka-suka nak cakap Mersing kekal milik Umno. Apa-apa pun pilihanraya dulu kemudian baru cerita.
Ketua Pemuda Umno Mersing yang juga sahabat saya Azmir Datuk Zainal juga membalas tweet presiden Umno berbunyi: ‘Saya selaku Ketua Pemuda Umno Mersing sokong kerusi Mersing dipulangkan pada Umno’.
Suka saya nak tanya Azmir. Dia nak minta siapa pulangkan? Dia nak minta Dr Ahmad Latiff pulangkan kepada Umno atau dia nak minta Muhyiddin yang pulangkan?
Kalau tanya saya, sekiranya bersungguh hendakkan kerusi Mersing, kena minta daripada pengundi Mersing. Apa-apa pun pilihanraya dulu kemudian baru cerita.
Banyak pula perkataan pulangkan teringat pula lagu penyanyi jelita Misha Omar dalam sountrack untuk filem Pontianak Harum Sundal Malam. Kita lihat sikit petikan liriknya,
Tiadaku sangka kau sungguh kejam,
Kau rampas segalanya yang kau dendam,
Namun takkan bahagia kehidupanmu
Bila bunyi ‘Bersatu’
Pulangkan..
Sempena lirik saya suka nak simpulkaitkan begini :
Dua baris pertama menceritakan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Dr Ahmad Latiff apabila dia melompat, berhijrah atau menyeberang ke parti Bersatu setelah menang selesa di Mersing selama enam (6) penggal berturut-turut atas tiket Umno.
Patut tak saya cerita sebelum dia melompat dia buang keanggotaan 99 ahli Umno yang setia sehingga ke hari ini bersama Umno?
Bersungguh benar dia rosakkan Umno, buang ahli atas nama nak kukuhkan parti kemudian dia lompat Bersatu. Kukuhlah sangat. Sedih bukan kepalang 99 orang ahli Umno yang kena ‘keputihan’ tersebut.
Saya lebih menghormati mereka yang berprinsip tidak mudah dijual beli dengan jawatan. Sanggup mereka merayu di pejabat Umno Johor batalkan keputusan tersebut.
Patut tak saya cerita yang tukang buat kerja pemutihan pun dah lompat hijrah menyeberang bekerja dengan Dr Ahmad Latiff?
Dua baris akhir pula menceritakan keadaan Dr Ahmad Latif sekarang apabila kehidupannya tidak tenang sejak dua tiga hari ini.
Pada setiap peringkat Umno telah berbunyi termasuk presiden Umno, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Asyraf Wajdi, Ketua Bahagian, Ketua Pemuda Bahagian Mersing, Wanita Bahagian dan ahli akar umbi Umno berbunyi dengan satu mesej – jelas untuk menolak Dr Latiff seluruhnya tanpa peduli kesepakatan yang dibentuk dalam Perikatan Nasional.
Memang tak bahagia hidup dia walaupun dah dapat jadi menteri penuh. Walaubagaimanapun saya puji tulisan jawi Dr Latiff (ini saya ikhlas)
Ketua Bahagian Umno Mersing Youzaimi menulis panjang dalam surat bertarikh 8 Julai 2020 ‘Parlimen Mersing Kubu Kuat Umno dan Barisan Nasional’ kepada bekas bossnya.
Youzaimi juga mengingatkan semula janji Dr Ahmad Latiff kepada pengundi yang telah mengundi BN sebelum dia melompat. Walaupun panjang tulisannya – kesimpulan yang boleh dibuat adalah dia sayang bekas boss dia. Belum apa-apa dah minta maaf dalam surat terbuka dia kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Janji yang Dr Ahmad Latiff laungkan di Felda Tenggaroh 3 itu dibuat dalam keadaan sedar – bukan dalam pengaruh ubat-ubatan. Waras sihat membuat keputusan untuk diri sendiri dia akan meletakkan jawatan sekiranya dia nak melompat.
Jelas Dr Ahmad Latif tidak meletakkan jawatan walaupun telah melompat, hijrah dan menyeberang ke Bersatu.
Saya rasa Dr Latiff hendak letak jawatan sebenarnya. Tetapi masa dia hendak letak jawatan, ditawar pula jadi Menteri penuh yang mana masa dalam Umno tak pernah merasa jawatan menteri penuh walaupun sudah dikira senior dan berpengalaman sebagai timbalan menteri di beberapa kementerian termasuk Timbalan Menteri Pertahanan.
Saya juga bersetuju dengan Youzaimi bahawa Dr Ahmad Latiff wajar meletakkan jawatan kerana beliau telah melompat.
Kedua, komennya terhadap Umno tidak menghormati mandat pengundi Umno. Sedarlah diri yang mandat yang diberikan pada PRU-14 adalah mandat kepada Umno bukan kepada Bersatu.

Suasana perkampungan di Mersing, Johor
Kepada penduduk dan pengundi Mersing, Umno dan Bersatu bukanlah segala-galanya dan masih terdapat alternatif lain selain dua parti ini.
KEADILAN Mersing akan meletakkan calon dalam pilihanraya sekiranya berlaku pembubaran parlimen dalam masa terdekat. Itupun bergantung kepada kesediaan Muhyiddin untuk kehilangan jawatan Perdana Menteri lebih awal daripada tempoh penggal yang sepatutnya tamat pada tahun 2023.
KEADILAN akan meletakkan calon muda yang juga anak tempatan untuk Parlimen Mersing. Pengundi Mersing berhak mendapat pemimpin segar yang baru, bukan parti dan pemimpin yang dah diberikan peluang enam penggal tetapi tidak mampu membawa Mersing keluar dari status daerah termundur dalam negeri Johor yang pesat membangun.
Parlimen Mersing sentiasa berada dalam pihak kerajaan sepanjang 14 kali pilihanraya walaupun berlaku episod Langkah Sheraton pada hujung Februari lalu, Mersing masih berada dalam pihak kerajaan.
Tidak ada sebab untuk rakyat Mersing dinafikan hak pembangunan dan hak kemakmuran ekonomi melainkan parti dan pimpinan yang dipilih sebelum ini gagal untuk membawa suara rakyat Mersing. Wakil rakyat Mersing ke Parlimen jangan berasa selesa dengan mandat yang diberi pinjam sekarang ini.
KEADILAN wajar menjadi wadah baru untuk rakyat dan pengundi Mersing setelah berkali-kali memberikan kepercayaan kepada parti dan pemimpin yang salah.
KEADILAN bukan parti baru tetapi telah berusia 21 tahun yang faham dengan masalah kesenjangan ekonomi, kemiskinan luar bandar, menghormati sistem raja berperlembagaan, mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, komited memperkukuhkan demokrasi berparlimen serta menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil.
Paling penting KEADILAN teguh mendokong Islam sebagai agama persekutuan selari dengan perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Tahun 2020 yang sepatutnya menjanjikan kemakmuran kepada negara seperti termaktub dalam sembilan gagasan Wawasan 2020, tetapi berlaku sebaliknya pula. Bila difikir-fikir pening juga. Individu yang menjual Wawasan 2020 jugalah individu yang bertanggungjawab menggagalkanya.
Rakyat Malaysia khususnya di Mersing perlu sedar bahawa hanya diri sendiri yang boleh dipercayai untuk menentukan nasib sendiri. Puluhan tahun kita berikan kepercayaan kepada yang kita percaya, akhirnya kita berada di tempat kita bermula.
Puluhan tahun terbazir. Tidak keterlaluan sebenarnya kita telah jauh lebih terkebelakang. Peluang pilihanraya sekiranya ada pembubaran awal mesti digunakan dengan lebih bijak oleh pengundi di Mersing. Jangan emosi dan terikat dengan sentimen-sentimen yang merugikan diri sendiri dan masa hadapan.
Khairil Adanan merupakan Ketua Cabang KEADILAN Mersing, Johor
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini