JOHOR BAHRU, 12 OKT: Peruntukan RM85 juta dalam Belanjawan 2020 bagi melancarkan aliran trafik khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dijangka merancakkan kempen Tahun Melawat Johor 2020
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata penambahbaikan itu turut memberi limpahan kepada usaha kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).
“Diharapkan masalah kesesakan di tambak Johor dan Linkedua dapat diselesaikan dengan penambahan 50 kaunter untuk penunggang motosikal serta kaunter imigresen selain Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 semalam, mengumumkan bahawa peruntukan tersebut adalah untuk melancarkan aliran trafik khususnya di CIQ di sini.
TMJ 2020 mensasarkan kehadiran seramai 18.4 juta pelancong yang terdiri daripada domestik dan antarabangsa.
Sejak beberapa bulan lalu kerajaan negeri terus komited untuk memperhebat dan mempromosikan lagi kempen publisiti TMJ2020 bagi menarik pengunjung datang ke negeri ini.
Johorkini