JOHOR BAHRU, 4 FEB: Alat pengimbas suhu badan di Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar akan ditambah, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, pengimbas tunggal yang kini digunakan di kompleks tersebut akan ditambah berikutan kedudukan kompleks di selatan tanahair ini merupakan laluan paling sibuk di Malaysia.
“CIQ ini tampung 70 peratus pengunjung masuk di Malaysia. Berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disini paling ramai.
“Kalau di KLIA ada satu (alat pengimbas), disini mungkin perlu empat atau lima, dan kita perlukan skrin lebih besar.
“Ini memudahkan pegawai yang menjaga dan imbasan nampak secara jelas,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas lawatan ke Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, disini hari ini.
Tambah beliau lagi, individu yang dikenalpasti mempunyai ciri-ciri dihinggapi demam atau pun tanda novel coronavirus akan dirujuk ke Hospital Permai dekat Tampoi, di sini.
Ketika ditanya mengenai sambutan perayaan yang dibuat secara terbuka dan melibatkan jumlah pengunjung yang ramai Muhyiddin berkata, kerajaan tidak ada halangan bagi tujuan tersebut.
Namun, segala syarat perlu dipatuhi dan langkah-langkah keselamatan perlu diambil serius oleh pihak penganjur.
“Bukan sahaja orang China yang masuk. Ada orang Melayu dan India yang sama berniaga dan dapat duit.
“Tidak ada halangan. Jangan sebab itu (ancaman penularan novel coronavirus) kita nak batalkan majlis-majlis kerana takut merebak wabak. Tak perlu (batalkan). Sebab kita dah kawal pintu masuk,” katanya lagi.
Johorkini