Telefon pintar sekarang makin hari makin canggih. Ia memudahkan kita menyelesaikan banyak urusan harian. Malah ada di kalangan kita kini menggunakan telefon pintar sepenuhnya dalam kerjayanya.
Masih ingatkah lagi pada zaman 80-an dan 90-an, sesiapa yang hendak berhubung dengan kita untuk urusan kerja mestilah datang ke pejabat atau telefon pada waktu pejabat.
Selepas waktu pejabat, kita hidup selesa dengan bersosial sesama rakan, jiran dan ahli keluarga. Kerja-kerja di pejabat jarang sekali dibawa pulang.
Namun, zaman sudah berubah. Kini teknologi telah memudahkan kita supaya jarak perjalanan dapat disingkatkan dan kos perhubungan menjadi lebih rendah.
Jadi, untuk berurusan dengan mana-mana pihak, cukup hanya dengan menghantar e-mel dan menelefon telefon pintar pegawai berkenaan.
Kemudahan ini membuatkan kita lebih pantas bekerja.
Namun, sayang sekali kerja kita seperti tidak pernah selesai. Kerja sudah tidak terikat dengan pejabat mahupun masa pejabat.
Dan kita juga rajin melayaninya walaupun sudah berada di hadapan isteri dan anak-anak di meja makan.
Benarkah teknologi ini membawa kebaikan kepada kita dalam mencapai prestasi kerja yang unggul dan meningkatkan produktiviti?
Jika benar, memang tiada salahnya.
Cuma apakah kehidupan kita selaku anggota masyarakat dan ketua keluarga dapat dilaksana sebaik kita melaksanakan kerja-kerja pejabat?
Soalan ini pasti dijawab dengan pelbagai jawapan. Tanyalah hati masing-masing dan jawablah sendiri. Jika kita rasakan bahawa kerja-kerja pejabat menjadi rutin sepanjang masa walaupun setelah waktu pejabat, harap fikir-fikirkanlah semula.
Letakkan diri kita sebagai isteri, suami atau anak-anak yang berada di hadapan mata sedang melihat suami, isteri atau ayahnya yang ralit dengan telefon pintar sedangkan dirinya kini berada di rumah ingin menikmati juadah makan malam bersama-sama.
Bukan itu sahaja, dari dalam kereta hingga ke atas tilam sebelum memejamkan mata, telefon pintar sentiasa di tangan dan dibeleknya.
Sesekali ditanya, dijawab ringkas sahaja. Mungkin juga dimarahi atau diam seribu bahasa.
Tentu sekali muncul suatu perasaan cemburu kepada telefon pintar itu. Ia umpama hadirnya seorang insan baharu yang asing dalam keluarga yang mendapat perhatian sepenuhnya daripada kita.
Lebih malang lagi, mereka akan mengubati perasaan itu dengan mengikut jejak langkah kita untuk menatap telefon pintar.
Bayangkanlah suasana di meja makan kala itu, semua yang duduk berkumpul hanya menikmati momen malam itu dengan telefon pintar.
Ini hanya cerita tentang kerja. Menatap telefon pintar atas alasan banyak kerja. Bagaimana pula kalau yang membuatkan kita ralit itu bukan sebab kerja?
Tapi disebabkan oleh rakan dan orang asing yang kita sibuk berhubung menerusi media sosial. Bukankah suami, isteri atau anak-anak perlu lebih cemburu lagi?
Teknologi tidak pernah salah. Pencipta sesuatu inovasi tidak pernah mengharapkan ini terjadi kepada pengguna. Mereka memang ingin memudahkan kita bekerja dan berhubung.
Cuma bagaimana, bila, kenapa, siapa dan pelbagai lagi persoalan sampingan itu atas kehendak kita untuk memutuskannya.
Jika kita berdisiplin menggunakannya, pasti ia akan membahagiakan kita dan keluarga.
Apalah erti kehidupan andai kebahagiaan luput dari hidup sehari-hari. Usah biarkan orang yang kita sayangi mencemburui sesuatu ‘orang ketiga’ di dalam rumah. Berubahlah sebelum terlambat.
BACAAN TAMBAHAN:
https://smallbusiness.chron.com/technology-affect-work-environment-today-27299.html
https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20171103/282248075826148
https://www.bharian.com.my/node/50332
https://www.cybersecurity.my/data/content_files/44/1780.pdf
http://www.ukm.my/sukmanita/files/Suaranita-Bil-69.pdf
JohorKini