BM | EN | 中文

Aktiviti ekonomi di luar kawasan PKPD dibenarkan dengan SOP ketat

ismail-sabri.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Aktiviti ekonomi di kawasan yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah dibenarkan namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain SOP ketat, premis perniagaan termasuk pasar malam dan pasar harian perlu dipantau anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan pengunjung merekodkan butiran serta suhu badan mereka.

“Setakat ini, aktiviti ekonomi termasuk pasar boleh beroperasi dengan syarat ada RELA. Sebarang keputusan penutupan adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di sini semalam.

Advertisement

Beliau mengulas dakwaan arahan penutupan pasar malam di Meru, Klang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini.

Memperincikan perkara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan penutupan tersebut memandangkan PKPD hanya dilaksanakan di kawasan asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove di Klang.

“PKPD hanya dikenakan di kawasan asrama lelaki dan wanita serta deretan perumahan yang disewa untuk diduduki pekerja syarikat itu. Kawasan lain tidak diisytiharkan sebagai kawasan PKPD,” katanya.

Advertisement

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan kepastian berhubung dakwaan tersebut.

Mengulas pengumuman sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri ditamat atau diteruskan, beliau memberi jaminan akan mengumumkan perkara itu Jumaat ini berdasarkan kepada penilaian risiko jangkitan COVID-19.

“Biasanya, beberapa hari sebelum tamat tempoh PKPB, KKM akan menasihatkan mesyuarat khas MKN dan saya akan umum Jumaat ini selepas mesyuarat itu,” katanya.

Advertisement

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa PKPB selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak.

Bagaimanapun, PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan lebih awal iaitu pada 21 Nov lepas setelah terdapat trend penurunan kes positif COVID-19 serta keadaan didapati terkawal.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top