BATU PAHAT, 28 NOV: Pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu melibatkan 27 masjid dan surau di daerah Batu Pahat ditangguhkan sementara berikutan penularan Covid-19 membabitkan ahli kariah.
Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd Nasri Rahman berkata, masjid dan surau terlibat terlibat telah dikategorikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat sebagai berisiko kepada ahli kariah.
“Solat fardu lima waktu di masjid dan surau berkenaan hanya dibenarkan empat orang pegawai masjid manakala solat Jumaat pula dibenarkan kepada 12 jemaah termasuk pegawai masjid,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Masjid yang disenaraikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat ialah Masjid Dato’ Bentara Luar, Jalan Ampuan; Simpang Tiga, Parit Sulong; Parit Besar; Tongkang Pecah; Tunggul Hitam, Parit Kaspan; Parit Samijan, Parit Raja; Parit Bilal; Parit Lahak dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Bagi surau pula membabitkan Surau Batu 7, Tongkang Pecah; Taman Bukit Pasir; Muhajirin, Bandar Putera Indah Tongkang Pecah; An-Nur, Bandar Putera Indah Tongkang Pecah; Al-Khauthar, Taman Banang Jaya; Taman Penggaram; Kampung Johor; Al-Azim, Taman Bukit Perdana dan Parit Semarang Darat.
Surau turut merangkumi Surau Taman Seri Wangsa, Parit Besar; Al-Ikhsan, Parit Raja Darat; Omar Al-Khattab, Jalan Omar; Al-Rahman, Taman Abd Rahman Jaafar; Hajjah Fatimah Lorong 7, Tongkang Pecah; At-Taqwa, Taman Putera Indah; Taman Broleh; musolla dalam AEON Big dan Parit Semarang,”
Mohd Nasri memaklumkan, masjid dan surau lain di kawasan Tongkang Pecah yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk terus melaksanakan solat Jumaat dan lima waktu dengan kehadiran jemaah mengikut satu pertiga kapasiti keluasan bangunan.
Katanya, namun semua aktiviti keagamaan seperti kuliah harian, kelas al-Quran dan majlis selawat adalah tidak dibenarkan.
“Bagi masjid dan surau telah dikenal pasti berisiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat adalah tidak dibenarkan melaksanakan solat lima waktu dan Jumaat kecuali bagi empat pegawai masjid untuk solat fardu manakala 12 orang pula untuk solat Jumaat.
“Bagi ahli kariah lain yang tidak dibenarkan solat Jumaat dan lima waktu, maka mereka hendaklah menunaikannya di rumah masing-masing,” katanya.
PKPB akan dilaksanakan di Tongkang Pecah, daerah Batu Pahat bermula esok sehingga 13 Disember selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan susulan situasi semasa Covid-19 di kawasan berkenaan.
Johorkini