BM | EN | 中文

AKTIVITI CUTI SEKOLAH ELAK GEJALA SOSIAL

perpustakaan.jpg

MUAR, 10 DIS: Musim cuti persekolahan yang tiba boleh menimbulkan kebimbangan banyak pihak, khususnya para ibu bapa yang gusar dengan kemungkinan gejala sosial dan mungkin mempengaruhi anak-anak mereka.

Adun Maharani Norhayati Bachok berkata, ada juga di kalangan ibu bapa yang runsing dengan gejala baharu, iaitu permainan video di gajet dan masa anak-anak mereka dihabiskan dengan permainan tersebut tanpa melakukan kegiatan lain.

Justeru itu katanya, waktu lapang yang terluang ini perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah.

“Kami di DUN Maharani mengambil inisiatif untuk mengadakan program bagi mengisi masa lapang anak-anak yang cuti sekolah ini dengan aktiviti yang bermanfaat.

“Di Perpustakaan Mini Maharani, kami telah menyediakan bermacam program yang disusun sesuai dengan kehendak anak-anak seperti program ‘main sambil belajar’.

“Pelbagai siri interaktif berkonsepkan belajar sambil bermain telah dianjurkan bermula 23 November yang lalu sehingga akhir cuti persekolahan ini,” katanya kepada JohorKini.

Norhayati Bachok

Menurut Norhayati, antara program yang disusun adalah melukis sambil bercerita, Interaktif STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), ceria bercerita, kraf kreatif 3R, buat sendiri cupcake dan sandwic, seronoknya jawi, ‘Saya bijak wang’ serta ‘Ceria cerdik ke sekolah’.

Tambahnya lagi, sambutan yang diterima oleh ibu bapa amat memberangsangkan khususnya kepada mereka yang berminat untuk mendorong aktiviti berfaedah untuk diisi oleh anak-anak mereka.

“Mereka berasa teruja dengan aktiviti yang disediakan oleh pihak kami. Malah aktiviti yang kami sediakan juga bersifat interaktif yang mana para peserta diberikan kebebasan membuat sendiri eksperimen sains dan mencipta hasil seni atau kraf melalui tunjuk ajar pengajar.

“Secara langsung kita akan dapat melihat kesungguhan, bakat dan daya kreativiti anak-anak ini serta ia pastinya mengagumkan.

“Siri aktiviti yang dijalankan ini diharapkan meningkatkan lagi amalan membaca di kalangan generasi muda dan turut menerapkan nilai-nilai positif kepada anak-anak,” ujarnya lagi.

Aktiviti tersebut diadakan pada setiap hujung minggu turut dijayakan dengan kehadiran tenaga-tenaga pengajar sukarela terdiri dari para pendidik dan komuniti setempat di kawasan DUN Maharani.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top